Turutan dasar boleh kurangkan pekerja asing, naikkan gaji, kata pakar strategi DAP 


Sheridan Mahavera Lee Chi Leong

Syarikat-syarikat perlu automasikan operasi mereka untuk mengurangkan bilangan pekerja asing dan pekerja yang tidak mahir.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2019.

PUTRAJAYA perlu memperbetulkan turutan dasar bagi memenuhi sasaran Pakatan Harapan untuk mengurangkan jumlah pekerja asing dan meningkatkan kadar gaji masyarakat tempatan, kata pakar strategi DAP, Liew Chin Tong.

Belanjawan 2020 Pakatan Harapan memperkenalkan insentif menerusi beberapa siri program yang mensasarkan untuk menggantikan buruh asing dengan pekerja tempatan, menggaji semula wanita dan menggaji graduan kerja.

Sementara agenda ekonomi kemakmuran bersama pakatan pemerintah, mensasarkan untuk memastikan rakyat Malaysia berpendapatan rendah mampu mendapat gaji yang layak sebanyak RM5,800 menjelang 2030.

Majikan sering kali enggan mengupah penduduk tempatan kerana mereka mendakwa rakyat Malaysia memilih dan menuntut upah yang lebih tinggi.

Liew yang juga timbalan menteri pertahanan, mencadangkan agar dasar untuk mengurangkan pekerja asing menjadi sasaran sektor perkhidmatan dan kemudian diikuti oleh pembuatan, pembinaan dan pertanian.

Dasar-dasar ini juga perlu bergerak seiring dengan insentif untuk membolehkan syarikat-syarikat automasikan operasi mereka untuk mengurangkan bilangan pekerja yang tidak mahir yang mereka perlukan.

“Kita boleh kurangkan warga asing dana industri perkhidmatan. Pembuatan, kita boleh kurangkan insentif supaya pelaburan ke dalam automasi boleh ditingkatkan dan dicepatkan,” kata Liew kepada The Malaysian Insight.

“Selepas itu mungkin pembinaan, namun sektor ini memerlukan perlukan tempoh peralihan, daripada hanya menggunakan cara tradisional beralih kepada sistem pembinaan industri,” katanya yang juga pengarah pendidikan politik DAP.

“Akhir sekali pertanian dan perladangan. Perlu ada turutan dasar yang jelas dan akan membantu kita. Dasar ini berkait rapat antara satu sama lain dan mengikut turutan dan ini memerlukan lebih banyak perbincangan.”

Pakar strategi DAP, Liew Chin Tong mencadangkan agar dasar mengurangkan pengambilan pekerja asing jadi sasaran sektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 18 Oktober, 2019.

Liew mencabar persepsi yang popular bahawa rakyat Malaysia tidak mahu melakukan kerja-kerja yang kotor, berbahaya dan sukar atau “3D” – alasan yang kerap digunakan majikan untuk menggaji pekerja asing.

Persepsi ini bercanggah dengan realiti yang mana ratusan ribu rakyat Malaysia menyeberangi selat setiap hari bekerja di Singapura untuk upah yang rendah.

Pada masa yang sama, ribuan rakyat Malaysia bekerja secara haram di ladang-ladang di Korea Selatan dan Australia, manakala ladang Malaysia mengimport jenis pekerja yang sama dari Indonesia dan Bangladesh.

“Kontradiksi yang kita alami ialah kita ada 500,000 rakyat yang kerja di Singapura untuk gaji rendah, tidak lebih S$2,000, kalau tukar balik ialah RM6,000.”

“Ramai yang bekerja tanpa izin di Korea Selatan dan Australia. Petik buah. Sesuatu yang sangat tidak kena, mengapa pekerja kita petik buah secara haram di Australia?

“Kita ambil warga asing tanpa izin dan rakyat kita sendiri bekerja secara haram. Ada sesuatu yang tidak kena di sini. Ini kontradiksi yang kita perlu selesai dengan wawasan untuk maju ke depan.”

Liew berkata rakyat Malaysia yang sama yang menyeberang ke Singapura sanggup bekerja di rumah dengan harga RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

Jadi cabarannya adalah untuk mewujudkan pekerjaan separa mahir yang membayar pada kadar ini untuk rakyat Malaysia yang menurut Liew boleh dilakukan melalui lebih banyak automasi.

Beliau turut menceritakan pengalamannya sebagai seorang pelajar yang bekerja di sebuah restoran untuk menggambarkannya.

“Saya pernah kerja di Australia, setiap kedai ada mesin cuci pinggan. Sini tak banyak ada kerana lebih senang untuk upah orang cuci.

“Tapi dengan mesin itu, walaupun mahal ia boleh kurangkan pekerja, dari penjimatan itu boleh membiaya gaji pekerja lebih tinggi.

“Kita perlu guna teknologi. Kalau satu kerja pelu 10 orang, dengan teknologi automasi dan revolusi industri 4.0, kita mungkin guna satu atau dua orang pekerja sahaja tapi mereka akan dibayar dua atau tiga kali ganda. Itulah yang sepatutnya,” tambah Liew. – 18 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen