Masalah ekonomi tak boleh selesai satu malam, kata Chin Tong 


Sheridan Mahavera Lee Chi Leong

Pengarah pendidikan politik DAP, Senator Liew Chin Tong berkata ramai sudah lupa adalah Najib Razak turut memotong perbelanjaan kerajaan dan bantuan pada 2014.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 18 Oktober, 2019

MENYELESAIKAN masalah rantaian yang menjejaskan golongan berpendapatan rendah tidak boleh diselesaikan dalam satu malam kerana ia melibatkan penstrukturan semula seluruh ekonomi, kata pakar strategi DAP.

Malah pentadbiran Pakatan Harapan juga boleh mengulangi kesilapan yang sama pernah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional dengan falsafah “cash is king’, kata pengarah pendidikan politik DAP, Senator Liew Chin Tong.

Liew yang juga timbalan menteri pertahanan berkata demikian sebagai menjawab sentimen ekonomi negara kini lebih teruk berbanding ketika pentadbiran BN. 

Segelintir pengundi memberitahu The Malaysian Insight, walaupun terdapat kes rasuah melibatkan pemimpin kanan BN seperti bekas perdana menteri Najib Razak, mereka merasakan seara umumnya keadaan adalah lebih baik dalam gabungan terdahulu.

Mereka menyatakan, Najib yang dibicarakan kerana rasuah dan pengubahan wang haram, telah memberi bantuan menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan subsidi lain.

“Walaupun BN rasuah, sekurang-kurangnya rakyat dapat sesuatu kembali”, telah menjadi pandangan umum oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan Pakatan. 

Liew menafikan persepsi ini dengan menegaskan bahawa kadar gaji tidak berubah selama 15 hingga 20 tahun yang lalu, ketika BN mentadbir Putrajaya.

“Apa yang kita hadapi bukan satu atau dua hari boleh kita selesaikan. Contohnya gaji tidak naik sejak 15 hingga 20 tahun,” kata Liew kepada The Malaysian Insight.

“Kalau ada seorang graduan mula kerja pada tahun 90an, gaji dia mungkin RM1,500 dan RM1,800. Tapi sekarang gaji graduan hampir sama.”

“Jadi, hala tuju yang betul supaya kita semua kembali menumpukan kepada pekerjaan. Kita tidak boleh hanya kata cash is king, beri BR1M kepada rakyat. 
Idea BR1M ini hanya menutup masalah secara jangka pendek. Ia adalah labgkah jangka pendek,” kata Liew kepada The Malaysian Insight.

BR1M telah digantikan dengan program yang diubah oleh Pakatan iaitu Bantuan Sara Hidup (BSH).

Liew berkata, di bawah program BR1M, hanya 60% isi rumah warga Malaysia menerima bantuan kewangan dan ini bermakna kumpulan ini mempunyai masalah untuk memenuhi keperluan mereka.

Tetapi penyelesaian sebenar masalahnya adalah untuk menyusun semula ekonomi supaya rakyat Malaysia boleh mendapat gaji yang baik.
 
“Penyelesaiannya bukan dengan memberi bantuan. Penyelesaiannya adalah kita kaji balik struktur apa yang kita warisi. Sekarang struktur tidak dikaji semula sejak zaman Najib.

“Apa yang Najib buat ialah bila ada masalah, beliau gunakan duit dan masalah selesai. Memang dalam jangka pendek ada ‘feel good factor’ tetapi kita mesti ambil pengajaran dari Najib.”

Apa yang ramai sudah lupa adalah Najib turut memotong perbelanjaan kerajaan dan bantuan pada 2014, kata Liew.

Skandal 1Malaysia Development Berhad, yang mana Najib dan sekutunya didakwa mencuri berbilion ringgit daripada syarikat pelaburan negara, bukan satu-satunya sebab beliau dan BN kalah pada PRU14, kata Liew.

Pada 2014, harga minyak dunia turun dari AS$115 setong kepada paras bawah AS$70 setong dan seterusnya menurunkan hasil kerajaan.

Menurut data daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, hasil daripada produk minyak dan gas menyumbang kepada 15.5% ekonomi negara pada 2018. 

“Apabila harga minyak merosot, kerajaan potong subsidi, potong perbelanjaan kerajaan sehingga 30%. Hingga polis marah, penjawat awam marah, sampai tiada kos untuk membiayai makanan di asrama. Ini berlaku antara 2015 dan 2016.

Pada masa yang sama, bantuan kerajaan dipotong, pentadbiran Najib memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan menetapkannya pada 6%, kata Liew. 

“Rakyat mula rasa tersepit dan perlu hadapi GST dan dalam masa yang sama tengok apa Rosmah buat,” kata Liew merujuk kepada isteri Najib, Rosmah Mansor yang sangat mewah dengan koleksi barang kemas dan beg tangan. 

“Faktor ini yang membawa kepada kejatuhan BN namun ramai yang lupa masalah ini. 

“Mereka kata Najib baik, hanya kerana beliau bagi lebih namun ia hanya lebih kepada persepsi. 

“Ramai yang tidak ingat apa yang berlaku antara 2015 dan 2017. Struktur ini tak pernah berubah,” tambahnya. – 18 Oktober, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen