Putrajaya tiada pilihan selain teruskan ECRL, kata PM 


Noel Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berucap selepas pelancaran Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030 di Kuala Lumpur hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Oktober, 2019.

PUTRAJAYA tiada pilihan selain meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) atau mengalami kerugian berbilion ringgit, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata, kerajaan lebih suka untuk membatalkan projek berkenaan, namun kerja-kerja awal telah dimulakan oleh kontraktor.

“Kita punyai pilihan untuk hentikan projek ini dan membayar berbilion ringgit kepada kontraktor dan tidak gunakan apa yang telah dibina.

“Tetapi, lebih baik projek itu diteruskan dengan pengurangan kos,” katanya selepas melancarkan Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030 di Kuala Lumpur hari ini.

Kerajaan Pakatan Harapan menangguhkan projek itu pada Julai tahun lalu untuk menyemak semula kos pembinaannya.

Ia dimulakan semula pada April tahun ini susulan rundinagn semula yang berjaya dilakukan dengan kontraktor utama China Communications Construction Co Ltd dan kerajaan China.

Rundingan semula itu membawa kepada pengurangan kos kepada RM44 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd Darwis Abdul Razak berkata, kira-kira 214 kontraktor tempatan yang dilantik sebelum ini akan dipanggil semula.

“Kontraktor tempatan yang telah dilantik lebih awal masih terlibat. Kami juga akan menarik balik kontraktor yang sebelum ini terlibat dalam projek ini,” katanya.

Setelah siap, rangkaian rel sepanjang 640 kilometer itu akan menghubungkan Kota Bharu ke Putrajaya.

Perjalanan antara kedua-dua bandar itu dijangka mengambil masa empat jam. – 17 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen