Putrajaya akan tambah baik khidmat kereta api, kata PM


Noel Achariam

Sistem kereta api negara akan ditambaik supaya lebih maju berbanding Korea Selatan atau Jepun, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Oktober, 2019.

PUTRAJAYA akan meneliti cara untuk meningkatkan perkhidmatan kereta api kerana penggunaannya sekarang tidak meluas, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, kerajaan mahu menggalakkan rakyat dan sektor swasta menggunakan perkhidmatan kereta api dengan lebih kerap.

“Jika syarikat pindahkan barangan besar menggunakan kereta api, ia akan mengurangkan jumlah kenderaan berat di jalanan.

“Kita juga boleh nampak bila ada banyak lori bawa minyak dan barangan lain, kadang-kadang ada kemalangan, ada yang cedera dan meninggal dunia.

“Kerana itu kita mahukan barangan besar dipindahkan menggunakan kereta api,” katanya selepas pelancaran Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 di Kuala Lumpur Sentral hari ini.

Dr Mahathir berkata keutamaan kerajaan adalah untuk mengurangkan kenderaan berat di jalan raya dan meningkatkan penggunaan landasan terutama untuk perjalanan jauh.

“Landasan adalah pelaburan besar. Kita tak mahu bina tetapi kemudian tidak pakai.

“Di negara lain, mereka ada perkhidmatan kereta api yang berkesan.

“Kita mahu sistem kereta api kita lebih maju di masa depan berbanding Jepun, Korea Selatan, China dan negara lain.”

Dr Mahathir berkata sekiranya mereka menambah baik perkhidmatan kereta api, akan ada lebih banyak ruang dan peralatan untuk mengendalikan jumlah barangan di stesyen.

“Itu kita kena kaji dahulu dan jika ada keperluan untuk tingkatkan landasan kereta api, kita akan buat.

“Kita juga akan dapatkan nasihat pakar Jepun untuk jadual kereta api untuk memudahkan perjalanan.”

Katanya, tidak akan ada kesan kepada pengendali kereta api kerana mereka akan dapat menggunakan landasan itu dengan peruma.

“Jika lebih banyak syarikat mahu guna keretapi barang atau penumpang tetapi mereka kena bayar kepada KTMB.” – 17 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen