TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming terpaksa membunyikan loceng selama seminit pada jam 4.06 minit kerana korum sidang tidak mencukupi.
Nga membuat ketetapan itu selepas diminta Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokthar Radin mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 13 (1).
“Bunyikan loceng satu minit ahli berhormat yang duduk dekat ‘lounge’ sila masuk dalam dewan,” katanya di Dewan Rakyat.
Loceng tersebut dibunyikan ketika Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shia Yoon membahaskan Rang Undang- Undang Perbekalan (Belanjawan 2020).
Terdahulu, Bung mencelah dalam perbahasan Steven meminta Nga membunyikan loceng.
“Peraturan Mesyuarat 13 nampak Dewan kita tak cukup korum jadi minta Yang Di Pertua buat ketetapan,” katanya.
Mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 13(1), cukupbilang (kuorum) bagi Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi 26 orang ahli dengan tidak termasuk pengerusi.
Kehadiran ahli Parlimen pernah dikritik Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Rais Hussin yang disifatkan amat teruk
Menerusi status dimuat naik di akaun Twitter dua hari lalu, Rais mempersoalkan kehadiran wakil rakyat terutama ketika sesi perbahasan Belanjawan 2020 berlangsung.
Julai lalu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah menegur kerana tidak berpuas hati dengan kehadiran menteri dan timbalan menteri.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Ismail Sabri menyifatkan insiden tersebut sebagai sejarah hitam meminta Parlimen dibubarkan jika ahli Parlimen Pakatan Harapan tidak lagi berminat untuk berbahas dan menghadiri dewan.
Katanya, kehadiran ahli Parlimen PH termasuk menteri dan timbalan menteri sangat mengecewakan ketika sesi perbahasan rang undang- undang RUU perbekalan (belanjawan) (2020)
“Saya nampak seolah menteri dan ahli Parlimen tak berminat dengan dewan
“Saya rasa kalau tak berminat berbahas dalam dewan, bubar saja Parlimen dan bagi ahli Parlimen baru baharu berbahas,” katanya kepada wakil media di lobi Parlimen hari ini. – 17 Oktober, 2019.
Komen