NGO siswa mahu lancar demo besar tagih janji manifesto


Mastura Malak

SATU NGO Mahasiswa, Gerakan Desak Janji Pakatan Harapan (Desak) mengancam mengadakan demonstrasi lebih besar sekiranya kerajaan tidak menjelaskan manifesto yang belum ditunaikan.

NGO tersebut yang berhimpun di hadapan bangunan Parlimen hari ini menuntut Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjelaskan lima perkara dalam manifesto itu semasa perbahasan Belanjawan 2020.

Justeru Desak mengemukakan satu “Memorandum Mahasiswa” sebagai tanda keseriusan dalam menuntut manifesto pihak kerajaan yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang lalu.

Antaranya adalah janji yang perlu dijelaskan itu adalah penghapusan tol dan melaksanakan pendidikan percuma, kata Pengarah Sekretariat Desak Mohd Zofrie Zulhilmi Ruslee

Tiga lagi tuntutan adalah berhubung janji PH unutk meningkatkan peluang pekerjaan, memberi gaji minimum yang lebih adil, dan kawalan kenaikan harga barang, katanya.

“Satu juta peluang pekerjaan baharu untuk anak muda dengan tawaran gaji minimum RM2,500 tiada. Bahkan gaji minimum semasa, yang dijanjikan untuk dinaikkan kepada RM1,500 juga tidak dilaksanakan secara holistik.

“Lambakan pekerja asing untuk bekerja di Malaysia, ditambah dengan isu pendaftaran kewarganegaraan secara haram pula tidak ditangani secara serius oleh kerajaan semasa.

“Kami juga menuntut manifesto berkenaan penghapusan caj tol secara konsisten dan progresif. Belanjawan 2020 hanya menetapkan penurunan sebanyak 18% secara purata yang mana ini bukanlah apa yang dijanjikan oleh kerajaan PH,” katanya.

Memorandum itu diserahkan oleh Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Muhammad Ikhwan Nasyriq Salahin, kepada wakil pembangkang Tuan Ibrahim Tuan Man.

Memorandum itu diserahkan kepada pembangkang dengan hasrat agar wakil rakyat berkenaan akan membahaskan perkara itu dalam Dewan Rakyat.

Mengulas memorandum itu, Tuan Ibrahim berkata mahasiswa berkenaan berhak menyuarakan bantahan kerana Belanjawan 2020 langsung tidak menyentuh isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Walhal, PH berjanji untuk menangguh bayaran balik pinjaman bagi peminjam bergaji bawah RM4,000 seperti yang diumumkan dalam manifesto, kata ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Ini menunjukkan seolah-olah kerajaan yang ada tidak prihatin terhadap apa yang sedang menimpa mahasiswa, kata Tuan Ibrahim

“Kedua, dalam janji manifesto untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan tetapi dalam belanjawan 2020, diturunkan kepada 350,000 peluang dalam tempoh 5 tahun.

“Itu tidak dapat menampung keperluan mahasiswa yang keluar dari universiti.

“Jadi saya harapkan isu yang dibangkitkan mahasiswa ini kita akan bawa dalam bentuk ucapan ke peringkat Parlimen dan juga bertemu dengan pejabat menteri yang berkenaan,” ujarnya. – 17 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen