KEMENTERIAN Pendidikan perlu menerima hakikat yang Universiti Malaya bermasalah selepas pegawai tertinggi universiti itu terkait dengan ucapan berbaur perkauman di Kongres Maruah Melayu, kata Dr Wee Ka Siong.
Presiden MCA itu berkata ucapan Naib Canselor UM Abdul Rahim Hashim itu akhirnya menyebabkan aktivis pelajar Wang Yan Ke mengadakan protes di pentas konvokesyen minggu lepas.
Wee yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, kementerian sepatutnya bertindak pantas menangani isu berbanding hanya menunggu isu itu reda sendiri.
“Ucapan naib canselor itu punca semua kekecohan ini.
“Saya kecewa dengan pemimpin kerajaan terutama sekali Maszlee (Malik, menteri pendidikan) dan Teo Nie Ching (timbalan menteri). Mereka sepatutnya bersuara pantas (menyatakan pandangan) kerana ini bidang kuasa kementerian mereka.
“Mereka patutnya sensitif dengan isu ini. Mereka tak boleh hanya terus berdiam diri. Perlu ada tindakan serta merta daripada kerajaan,” katanya yang merupakan timbalan menteri pendidikan pada 2008 hingga 2013.
Tambah Wee lagi, aktivis pelajar, Wong berhak menyatakan pandangannya tetapi tidak boleh sampai menganggu majlis rasmi seperti majlis konvokesyen.
“Awak tanya saya…kebebasan bersuara? Ya, tetapi ia tidak boleh jejaskan majlis.
“Awak boleh luahkan tak puas hati dengan ucapan naib canselor. Saya rasa itu hak pelajar. Ia okay,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Isnin lalu, Wong, seorang graduan kejuruteraan awam UM mencetuskan kekecohan apabila membawa dan melayangkan plakad di pentas konvokesyen universiti ternama negara itu, mendesak peletakan jawatan Rahim kerana ucapannya yang didakwa perkauman pada Kongres Maruah Melayu.
Wong kini disiasat polis kerana kesalahan menghina. – 17 Oktober, 2019.
Komen