Isu kerajaan baharu muncul sebab peralihan kuasa tak jelas, kata Umno


Diyana Ibrahim

Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan berkata isu penubuhan kerajaan baharu timbul kerana peralihan kuasa antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim tidak jelas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2019.

CAKAP-CAKAP mengenai penubuhan kerajaan baharu berpunca daripada sikap Dr Mahathir Mohamad yang masih berdolak-dalik mengenai peralihan kuasa, menurut pemimpin Umno.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan berkata perkara itu akan sentiasa timbul jika peralihan kuasa untuk melantik Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan tidak diperjelas.

“Anwar bangkitkan peralihan kuasa akan diberikan kepadanya dalam dua tahun. Saya harap perkara ini dapat dijelaskan perdana menteri.

“Betul ke dua tahun atau lepas tiga tahun atau selepas selesaikan masalah negara atau sebelum PRU15? Jadi pandangan perdana menteri ini sering berubah-ubah.

“Jika tidak jelas peralihan kuasa ini, pakatan baru akan timbul lagi,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas usaha membentuk kerajaan baharu itu yang didakwa digerakkan bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein.

Anwar semalam mendakwa usaha membentuk kerajaan tanpa Amanah dan DAP itu disebut oleh Hishammuddin.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan Hishammuddin.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata Umno sejak awal lagi membuat pendirian bahawa sebarang pakatan baharu tidak akan melibatkan Amanah dan DAP.

Bagaimanapun perkara itu tidak lagi relevan apabila Umno membentuk kerjasama dengan PAS, katanya.

“Hishamuddin sudah nafikan (dakwaan) tapi saya ingin ulang apa diputus presiden Umno dulu bila melibatkan perbincangan nak buat pakatan baru.

“Umno dah buat keputusan ia mesti tidak melibatkan DAP dan Amanah.

“Tapi sekarang perkara itu tidak lagi timbul selepas Permuafakatan Nasional. Sekarang kita lebih bersedia berdepan PRU15,” katanya. – 17 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen