Pekebun kecil perlu gabung tanah untuk lebih untung, kata PM


Noel Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa pekebun kecil mengubah cara mereka bekerja dan mencadangkan pembentukan satu koperasi supaya matlamat itu tercapai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Oktober, 2019.

PEKEBUN kecil dalam sektor pertanian perlu menggabungkan tanah mereka untuk menjana hasil pendapatan maksimum, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menggesa pekebun kecil mengubah cara mereka bekerja dan mencadangkan pembentukan satu koperasi supaya matlamat itu tercapai.

“Kalau mereka terus mengerjakan ladang kecil, mereka tak boleh buat untung. Tetapi kalau mereka bekerja sebagai satu koperasi, banyak yang boleh dihasilkan,” kata perdana menteri selepas merasmikan mesyuarat agung dwitahunan Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (NASH) di Hotel De Palma, Ampang pagi tadi.

Dr Mahathir berkata jika 20 pemilik tanah mencantumkan tanah mereka, pihak ketiga boleh dilantik sebagai pemantau.

Tambah beliau, ladang itu kemudian boleh diuruskan oleh pakar dan pengurus ladang dengan menggunakan teknik sama yang digunapakai oleh ladang-ladang besar.

“Pekebun kecil ini masih memiliki tanah mereka, tetapi hasil yang mereka terima akan mengikut bahagian masing-masing.

“Mereka boleh bekerja atau cuma jadi tuan tanah. Tetapi untung dari ladang akan mengikut saiz tanah.”

Kata perdana menteri lagi, beberapa petani sawah bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Program penggabungan ini akan diterajui oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.”

Fungsi koperasi juga akan disemak, kata Dr Mahathir.

“Seperti yang kita tahu, pembangunan koperasi di Malaysia masih di tahap rendah berbanding negara maju lain.

“Kementerian dan agensi akan memainkan peranan utama dalam memartabatkan semula fungsi koperasi, terutamanya koperasi di kawasan luar bandar.” – 17 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen