Isteri pastor jelajah luar negara ceramah ‘kehilangan paksa’ di Malaysia


Noel Achariam

Susanna Liew ke Washington, Helsinki dan London, serta akan ke Korea Selatan bercakap tentang penculikan suaminya, Pastor Raymond Koh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2019.

SUSANNA Liew, isteri kepada Pastor Raymond Koh yang masih hilang, kini menjelajah ke beberapa negara untuk memberikan ceramah tentang “kehilangan paksa”, khusus tentang penculikan suaminya, bagi memastikan isu itu terus mendapat perhatian.

Liew, 63, dijemput oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) pada Julai untuk menyampaikan ceramah dalam satu forum di Washington DC, yang turut dihadiri oleh Naib Presiden AS Mike Pence, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo, menteri luar dan perwakilan.

Liew berkata ucapannya pada forum itu diterima dengan baik dan mereka yang hadir turut bimbang tentang kes kehilangan paksa dan berkenaan kebebasan agama di Malaysia.

Susulan lawatannya ke Washington, beliau dijemput oleh kumpulan Kristian di Helsinki dan London, dan pada November beliau akan menghadiri satu lagi program di Korea Selatan, juga atas jemputan kumpulan Kristian di sana.

Dalam semua ucapannya, Liew meluahkan kesedihannya atas penculikan Koh, yang dikatakan dilakukan oleh polis Malaysia.

“Matlamat saya untuk memastikan isu kehilangan Koh terus hidup, untuk beritahu dunia bahawa beliau mangsa kehilangan paksa, supaya orang ramai tidak akan lupa apa yang berlaku terhadapnya.

“Mereka perlu tahu tentang jenayah yang berlaku, supaya orang lain tidak perlu menderita kehilangan orang tersayang,” kata Liew kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Muhiyiddin Yassin berkata pasukan petugas khas menyiasat kehilangan Koh dan pengasas Perlis Hope Amri Che Mat belum melengkapkan siasatan.

Katanya, pasukan itu diberikan enam bulan untuk menyiasat di mana tempoh itu akan berakhir pada hujung bulan depan, menambah pihaknya belum menerima laporan berkenaan kehilangan dua individu itu.

Liew mengulangi kenyataannya, sejak pasukan petugas khas itu ditubuhkan, beliau belum menerima sebarang maklumat perkembangan kes Koh.

Selepas lawatan ke AS, Liew dijemput berucap di Helsinki pada September, pada satu program anjuran Voice of the Martyrs (VOM), NGO antarabangsa yang misinya mempertahankan hak asasi manusia bagi penganut Kristian yang teraniaya.

Beliau berkata lebih 70 orang terdiri daripada ahli tempatan dan luar negara menghadiri program itu.

Pada Oktober, rakan rapatnya menjemput berucap di Gereja Southall Bapist di London.

Lokasi berikutnya ialah Korea Selatan di Korea.

“Saya berkongsi keterangan tentang Koh dan mereka yang mendengar ucapan saya sangat memberi sokongan.

Koh, 62, diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, pada 13 Februari, 2017.

Amri hilang pada 24 November, 2016, selepas keluar dari rumahnya di Kangar.

Siasatan Suhakam memutuskan mereka adalah mangsa kehilangan paksa. – 19 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen