DAP jadi sasaran untuk takutkan Melayu, kata Chin Tong


Sheridan Mahavera Lee Chi Leong

Ketua biro pendidikan politik DAP Liew Chin Tong berkata parti itu sekian lama terpaksa berdepan dengan pelbagai tuduhan yang dibuat bagi menghalang sokongan Melayu terhadap mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 Oktober, 2019.

ISU seperti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sengaja dimainkan musuh Pakatan Harapan (PH) untuk memomokkan DAP dan mengurangkan sokongan Melayu terhadap kerajaan, kata seorang pakar strateginya.

Dua wakil rakyat DAP antara tujuh individu yang ditahan di bawah undang-undang anti keganasan pada 10 Oktober atas kesalahan cubaan menghidupkan semula LTTE.

Kontroversi itu digunakan musuh PH, terutama Umno untuk menakutkan masyarakat, kata ketua biro pendidikan politik DAP Liew Chin Tong.

Helah seumpama itu digunakan sejak 2008, ketika DAP yang didominasi ahli bukan Melayu mula bekerjasama dengan parti lain dalam gabungan itu dan dapat menarik sejumlah besar sokongan masyarakat Melayu, kata Liew.

Parti-parti itu termasuk PAS, yang pernah sekali menjadi rakan kerjasama dari 2008 hingga 2015, dan sekarang Bersatu dan Amanah, yang berada dalam gabungan pemerintah PH di peringkat kerajaan persekutuan, kata Liew.

“Idea utama menjadikan DAP hantu itu bukan untuk memusnahkan DAP tetapi memusnahkan parti lain yang bersama DAP supaya mereka dapat merasakan sudah menjauhkan diri daripada DAP, terutama jika mereka parti diketuai Melayu,” katanya yang juga timbalan menteri pertahanan kepada The Malaysian Insight.

“Mereka kata DAP sumber masalah dan parti itu bertanggungjawab atas insiden 13 Mei (rusuhan kaum), yang kami ini komunis. Semua itu tidak benar. Ia dibuat begitu supaya Melayu jangan sokong rakan kerjasama DAP.”

Matlamat di sebalik strategi itu ialah untuk mengekalkan Umno memegang kuasa, kata Liew, menambah sebelum 2008 ketika DAP lemah dan parti yang bersendirian, ia tidak dianggap sebagai ancaman.

“Mereka kata DAP paling teruk dalam dunia. Ini tanggapan politik bukan hanya hari ini. Selama ini kami terpaksa berdepan dengan keadaan itu.”

Liew percaya sama seperti sebelum ini, DAP akan dapat menangani isu LTTE selagi rakan kerjasamanya Bersatu, Amanah dan PKR sedar strategi itu untuk apa.

“Kami sering terpaksa berdepan keadaan seperti ini dan apa yang penting ialah semua pemimpin PH sedar (perang persepsi) dan betapa pentingnya untuk kita mendapatkan sokongan daripada semua bahagian dalam masyarakat.”

Pemimpin India PH mengkritik penahanan exco Melaka yang uga Adun Gadek G. Saminathan dan Adun Seremban Jaya P. Gunasekaran.

Mereka mempertikaikan mengapa kedua-duanya ditahan tanpa bicara di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) memandangkan PH pernah berkempen untuk memansuhkan undang-undang itu.

“Ia sangat tidak bertanggungjawab untuk menahan dan mendakwa mereka sedangkan tidak wujud kaitan dengan LTTE. Cakap-cakap tentang menghidupkan semula LTT tidak masuk akal dalam konteks Malaysia,” kata pemimpin India.

Sumber dalam DAP berkata penahanan itu menyebabkan kekeliruan dalam kalangan ahli dan penyokong kerana parti itu sebelum ini pernah berkempen untuk memansuhkan Sosma.

Mereka turut mempersoalkan mengapa penahanan itu berlaku sekarang memandangkan masyarakat Tamil di Malaysia memang sudah lama bersimpati dengan LTTE dan nasib kaum Tamil di Sri Lanka yang terpaksa menanggung diskriminasi dan penindasan sejak berdekad lamanya.

Penderitaan masyarakat Tamil Sri Lanka di tangan kerajaan Sri Lanka sama saja dengan kesengsaraan dilakukan kerajaan Israel terhadap rakyat Palestin, kata mereka. – 17 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen