PAS mendesak kerajaan persekutuan mendedahkan hasil minyak Kelantan untuk menentukan jumlah sebenar bayaran royalti yang patut diterima kerajaan negeri.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata kerajaan perlu mendedahkan kiraan itu kerana Kelantan menghitung jumlah hasil lebih tinggi yang melayakkan menerima royalti RM1 bilion.
Beliau mendesak demikian susulan pengumuman kerajaan semalam bahawa bayaran sebanyak RM28 juta sudah disalurkan kepada Kelantan pada bulan lalu.
“Kerajaan mesti ada data, kalau Terengganu ada (data), kenapa tidak Kelantan.
“Kita nak tanya pada kerajaan pusat, macam mana formula (kiraan royalti) RM28 bilion berbanding pengiraan kita lebih RM1 bilion,” kata Takiyuddin pada sidang media di bangunan Parlimen.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam bagaimanapun tidak menyebut bayaran itu sebagai wang royalti tetapi sebaliknya wang ihsan, yang dipersoalkan PAS.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang media sama dengan Takiyuddin berkata PAS tidak pernah mengiktiraf wang ihsan itu sebagai wang royalti.
Beliau menggesa kerajaan turut menuntut kerajaan untuk menepati janji membayar royalti minyak kepada PAS.
Selain wang ihsan RM28 juta, Lim turut mengumumkan kerajaan persekutuan akan membayar RM100 juta kepada Kelantan untuk membayar gaji kakitangan. – 16 Oktober, 2019.
Komen