BN akan bincang cadangan lantik Hishammuddin setiausaha agung, kata Zahid


Diyana Ibrahim

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata parti akan membincangkan cadangan melantik Hishammuddin Hussein sebagai setiausaha parti itu dalam masjlis mesyuarat tertinggi akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2019.

BN akan membincangkan cadangan melantik Hishammuddin Hussein sebagai setiausaha agung parti, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, perkara itu belum dibincangkan tetapi  tidak menolak perbincangan tersebut akan dilakukan kelak.

“Kita belum ada mesyuarat Dewan Tertinggi BN. Insyallah kita akan bincang bila tiba masanya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Cadangan agar Hishammuddin dilantik sebagai setiausaha agung BN itu disuarakan Umno Johor pada bulan lalu.

Ketua bahagiannya, Hasni Mohamad berkata keputusan itu disokong sebulat suara oleh Umno negeri tersebut.

Ketika ini jawatan itu disandang oleh Tengku Adnan Tengku Mansur yang berdepan tuduhan rasuah.

Zahid juga berkata, BN akan mengumumkan calon bagi PRK Tanjung Piai dalam masa terdekat.

“Kita dah tetapkan tarikh dan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

PRK Tanjung Piai dibuat susulan kematian penyandang kerusi itu, Dr Md Farid Md Rafik, akibat serangan jantung pada 21 September lalu.

Suruhanjaya Pilihanraya Raya menetapkan penamaan calon PRK Tanjung Piai pada 2 November manakala tarikh buang undi dijadual pada 16 November depan. – 16 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen