DAP mengingatkan bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein agar tidak menggunakan usaha belakang tabir untuk kembali memegang jawatan dalam kerajaan.
Menteri pengangkutan itu juga berkata pembangkang perlu berhenti mengkucar-kacirkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Ini orang yang dah kalah pilihan raya jadi hormati keputusan mandat rakyat kepada kerajaan PH.
“Jangan lupa mereka kalah jangan cuba guna jalan belakang untuk jadi anggota kabinet,” katanya kepada media di lobi Parlimen.
Majlis Setiausaha PH semalam mendesak bekas naib presiden Umno itu menghentikan kempen yang cuba menampilkan idea kerajaan tanpa penyertaan DAP dan Amanah.
Bagaimanapun Hishammuddin hari ini menafikan dakwaan dan menyifatkannya sebagai mengarut.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut menafikan wujudnya perbincangan dengan Hishamuddin untuk menubuhkan kerajaan tanpa DAP dan Amanah.
Dr Mahathir ditanya demikian kerana Hishammuddin dilaporkan bertemu dengan beliau untuk mengadakan perbincangan pada Ogos lalu.
Pertemuan itu seterusnya menimbulkan kecaman ke atas ahli Parlimen Sembrong tersebut di kalangan sesetengah pemimpin Umno kerana didakwa cuba berpaling tadah.
Pertemuan itu kembali menjadi perhatian apabila Majlis Setiausaha PH mendesak Hishammuddin menghentikan kempen untuk menubuhkan kerajaan tanpa DAP dan Amanah.
Majlis berkenaan semalam menegaskan gabungan parti itu berpegang teguh kepada muafakat PH dan kekal bersatu dalam kerajaan yang turut dianggotai Parti Warisan Sabah dalam Kabinet.
Presiden PKR juga Anwar Ibrahim juga semalam meminta supaya ahli Parlimen pembangkang yang lain tidak tidak terpedaya dengan gerakan yang disifatkan sebagai “strategi karut”. – 16 Oktober, 2019.
Komen