Siapalah saya hendak halang Anwar jadi PM, soal Hishammuddin


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussien berkata beliau tidak ada jawatan dalam Umno untuk pengaruhi orang lain bagi menghalang Anwar Ibrahim jadi PM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2019.

PEMIMPIN Umno Hishammuddin Hussien hari ini berkata beliau bukan siapa-siapa untuk menghalang Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri, menambah presiden PKR itu patut berhenti risau tentang konspirasi seumpama itu.

Bekas naib presiden Umno berkata beliau tidak ada jawatan dalam parti sendiri, dan dakwaan tentang konspirasi itu tidak masuk akal kerana Barisan Nasional hanya parti pembangkang.

“Saya siapa? Saya tidak ada jawatan dalam parti untuk mempengaruhi mereka menghalang Anwar jadi PM berikutnya.

“Kami pembangkang. Apa kena mengena dengan jawatan perdana menteri? Ini tidak masuk akal,” katanya kepada wartawan di Parlimen.

Ahli Parlimen Sembrong itu turut mempersoalkan adakah Anwar tidak yakin dengan sokongan partinya sendiri untuk jadi perdana menteri.

“Adakah dia merasakan perlu mendapat sokongan BN dan Umno untuk jadi PM? Jika dia perlukan sokongan kami, maknanya dia tidak yakin dengan sokongan dalam partinya sendiri.

“Saya fikir Anwar rasa seluruh dunia hanya risaukan tentang dia jadi PM berikutnya. Saya fikir ada banyak lagi benda lain,” kata Hishammuddin

Semalam, Pakatan Harapan menggesa Hishammuddin dan “rakan-rakannya” berhenti membawa idea penubuhan kerajaan tanpa DAP dan Amanah.

“Hishammuddin, menerusi tulisannya dan temu bual, memberi isyarat kecenderungan untuk kembali pada politik dan tadbir urus berasaskan kaum,” kata setiausaha agung PH dalam satu kenyataan bersama semalam.

Awal hari ini Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan ada mengadakan perbincangan dengan Hishammuddin untuk menubuhkan kerajaan tanpa DAP dan Amanah.

Bulan lalu, Anwar sekali lagi berkata beliau akan mewarisi jawatan yang dipegang Dr Mahathir pada 2020. – 16 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen