POLIS akan mendapatkan bantuan Interpol untuk menahan seorang lelaki berusia 38 tahun yang didakwa menghina Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador di Twitter pada Isnin lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed pada sidang media berkata lelaki dikehendaki itu tinggal di luar negara sejak 2007.
“Kami sudah buat siasatan latar belakangnya. Kami tahu dia di mana dan kami akan mendapatkan bantuan Interpol untuk membawanya pulang ke sini.
“Individu ini menghina KPN menjadi haiwan peliharaan atau anjing untuk PM kita dan melabelkan PM kita sebagai tuan anjing.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 505B Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kebimbangan orang ramai menerusi posting blog dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi,” kata Huzir.
Semakan di Twitter menunjukkan individu terbabit yang menggunakan nama Naavinpillay8 menggunakan perkataan “anjing” dan “tuan” untuk merujuk kepada KPN dan PM.
Dalam satu post lain di Twitter, individu itu turut berkata India patut mempunyai negeri bebas sama seperti Sabah dan Sarawak, dan bebas daripada Melayu radikal dan negeri Islamik.
Sementara itu, dalam perkara berasingan, polis menahan seorang ejen pelancongan di Pulau Pinang kerana didakwa menghina Islam di Facebook.
Huzir berkata lapan laporan polis dibuat terhadap lelaki terbabit yang dikenali sebagai VT Vasagam.
“Kami menahannya semalam. Dia pada awalnya datang ke balai polis di Timur Laut di Pulau Pinang.
“Lelaki itu memuat naik satu gambar babi dengan logo halal di badan haiwan itu dengan perkataan ‘Hadi, Zakir Naik lebai’ dan beberapa perkataan hinaan lain,” kata Huzir.
Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 505B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi. – 16 Oktober, 2019.
Komen