DR Mahathir Mohamad mengingatkan mahasiswa yang mempunyai pandangan yang berbeza agar tidak melakukan protes dalam acara rasmi seperti majlis konvokesyen.
Perdana menteri berkata, tindakan yang tidak mengikut peraturan dan prosedur itu boleh menyebabkan berlaku kekecohan disebabkan reaksi balas yang mungkin timbul daripada pihak lain.
“Kita ada prosedur dan peraturan yang perlu diikuti. Jika tidak akan berlaku kekacauan. Apa akan jadi kalau semua yang hadir konvokesyen kemudian membantah tindakan pelajar tersebut?
“Mereka boleh berdemonstrasi tetapi di tempat lain. Jangan ganggu majlis rasmi dengan cuba tunjukkan mereka ada pandangan yang lain,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Kerajaan juga tidak akan campur tangan dalam urusan Universiti Malaya berhubung insiden seorang graduan membuat protes di atas pentas majlis konvokesyen universiti tersebut pada Isnin.
“Berkait dengan tindakan yang diambil oleh universiti, saya raya kita tidak boleh campurtangan sangat. Mereka bebas untuk membuat keputusan,” ujarnya.
UM membuat laporan polis ke atas pelajar berkenaan kerana didakwa mencemarkan nama baik universiti, tidak menghormati konvokesyen dan mengganggu perjalanan protokol istiadat.
Graduan kejuruteraan awam itu, Wong Yan Ke, mengeluar dan menayangkan plakad tertera perkataan, “Tolak Rasis” dan “Undur VC” sambil melaungkan slogan “Ini tanah Malaysia” selepas menerima ijazah.
Tindakan Wong, 23, tersebut sebagai bantahan ke atas kenyataan Naib Canselor UM Abdul Rahim Hashim dalam ucapan pada Kongres Maruah Melayu 6 Oktober lalu.
Rahim dalam ucapannya antara lain memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak mencabar kontrak sosial.
Rahim juga mendakwa perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 telah menghapuskan dominasi politik Melayu sehingga menyebabkan hak keistimewaan orang Melayu dipersoalkan. – 16 Oktober, 2019.
Komen