PESAWAH padi di Langkawi menyambut baik rancangan kerajaan pusat untuk menjadikan pulau itu sebagai hab pengeluaran padi pulut di Malaysia.
Mereka percaya langkah itu mampu menambah pendapatan golongan pesawah dan menjadikan Langkawi lebih terkenal, bukan sekadar pusat pelancongan semata-mata.
Namun rata-rata pesawah yang ditemui The Malaysian Insight lebih berharap agar isu yang menjejaskan tanaman padi di Langkawi diselesaikan terlebih dahulu.
Ahli Jawatankuasa Pengerusi Pertubuhan Peladang Langkawi Rasidi Saad berkata isu utama adalah kerenah birokrasi melibatkan beberapa agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap tanaman itu.
“Beberapa agensi yang menjaga padi di Langkawi antaranya Jabatan Pertanian, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).
“Tetapi mereka tidak bergerak selaras. Contohnya apabila petani menghadapi sebarang isu, pihak Jabatan Pertanian datang tetapi tiada tindakan susulan.
“Kadang-kala pula, agensi itu tolak tanggungjawab mereka kepada agensi lain,” kata Rasidi, 47.
Beliau berkata perkara itulah yang mengecewakan mereka selama ini dan berharap masalah itu diselesaikan terlebih dahulu.
“Jadi untuk lancarkan projek tanaman padi pulut, perlu wujud badan khas yang memantau agensi-agensi berkenaan,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.
Tambahnya, Langkawi juga memerlukan sebuah kilang beras kerana kos pengangkutan bagi membawa hasil padi ke tanah besar sangat mahal.
“Kos ke tanah besar (Alor Setar) satu tan RM75. Dalam setahun, 10,000 hingga 11,000 tan mencecah RM750,000.
“Jika kita dapat bina kilang di sini, ia juga memanfaatkan penduduk dan industri perhotelan untuk dapatkan. Petani juga boleh dapat untung daripada saham atau dividen,” tambahnya.
Pengumuman kerajaan menjadikan Langkawi sebagai hab pengeluaran padi pulut juga disambut dengan positif oleh Ketua Projek Padi Pulut Kampung Tok Bandar Dahlan Zain.
Namun beliau bimbang tanaman itu akan berdepan masalah kerana tanaman padi di seluruh Langkawi sering dilanda penyakit sejak dua tahun lalu.
“Ketika proses tanaman awal, semuanya okay sampailah peringkat akhir tiba-tiba padi diserang penyakit.
“Ia bukan diserang haiwan perosak atau haiwan lain tetapi serangan bakteria. Apabila kami minta racun dari Jabatan Pertanian, mereka lambat serahkan dan akhirnya padi menjadi kering dan tiada hasil,” kata Dahlan, 57, yang mengusahakan tanaman padi sejak zaman remajanya.

Beliau juga berharap pihak Kementerian Asas Tani dan Pertanian memandang serius kerenah birokrasi antara jabatan kerajaan yang menyebabkan kebanyakan petani kecewa.
Kerenah itu menyebabkan penyaluran input tani kepada petani terjejas kerana tidak dilakukan mengikut jadual, katanya.
“Peruntukan untuk beri racun dan baja (kepada petani) ada, jadual pun ada tapi mereka tidak ikut. Apabila tiada hasil, petani disalahkan.
“Jadi ada petani yang bimbang dan akan melihat terlebih dahulu projek rintis yang telah bermula sama ada berjaya atau tidak,” katanya.
Beliau mengetuai projek rintis yang dimulakan Ogos lalu menggunakan benih padi pulut varieti Siding yang dihasilkan Mardi.
Tanaman itu disemai di kawasan seluas 38.9 hektar, daripada keseluruhan 2,038 hektar kawasan sawah padi di pulau berkenaan.
Projek itu merangkumi beberapa kawasan antaranya di Kampung Ayer Hangat, Kampung Padang Lalang, Kampung Teluk dan Kampung Ulu Melaka.
Menurut kerajaan, projek dengan peruntukan RM30 juta itu akan memberi manfaat kepada lebih 1,200 petani, bagi menghasilkan padi pulut sebagai produk perdana Langkawi.
Salah seorang peserta yang terlibat dengan projek rintis itu, Mohd Ridzwan Mat Arif dari Kampung Ulu Melaka melihatnya sebagai satu peluang ekonomi baharu.
Bagaimanapun, beliau berpendapat kerajaan tidak boleh mengabaikan jenis padi yang lain seperti padi jawi yang sudah menjadi makanan ruji orang tempatan.
“Tanaman padi pulut ini satu peluang yang terbaik. Daripada beli negara luar (Thailand) kita boleh hasilkan sendiri.
“Tetapi saya harap jenis padi yang lain seperti padi jawi tidak diabaikan. Beras padi jawi adalah makanan ruji dan beras pulut hanyalah makanan sampingan,” katanya.
Selain itu, kerajaan juga perlu menambah baik masalah infrastruktur sedia ada untuk membolehkan projek berkenaan dilaksanakan, kata Ridzwan, 44.
Beliau yang mengusahakan padi sejak 2008 bimbang projek berkenaan akan terjejas sekiranya isu yang berlarutan sejak sekian lama seperti masalah sistem pengairan tidak ditangani.
Katanya, sistem pengairan perlu diluaskan sebab di Langkawi setiap kali hujan, ada kawasan banjir dan menjejaskan kawasan bendang.
Tambahnya, satu badan khas perlu ditubuhkan bagi mengawal selia dan menjayakan projek padi pulut itu. – 19 Oktober, 2019.
Komen