Masalah keciciran sekolah lebih besar daripada yang disangka, kata NGO 


Melati A. Jalil

Jumlah pelajar keciciran persekolah dilihat semakin membimbangkan kerana ia memberi kesan yang buruk dalam masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2017.

ANAK-anak yang tercicir dari persekolahan adalah perkara yang biasa dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan kekurangan butiran statistik menjadikannya sukar untuk organisasi kebajikan membantu keluarga yang terlibat, kata Yayasan MySkills, sebuah organisasi bukan kerajaan yang membantu remaja.

Tiada angka yang tepat berhubung mereka yang keciciran sekolah di Malaysia dan MySkills menganggarkan 20% kanak-kanak bersekolah berhenti sekolah sebelum mencapai Tingkatan Lima. 

Angka Kementerian Pendidikan pada 20111 menyatakan secara purata, jumlah pelajar tercicir bagi tempoh 2006 hingga 2010 adalah 1.32% bagi sekolah rendah dan 9.42% bagi sekolah menengah. Jumlah itu bagaimanapun tida termasuk pelajar yang ke sekolah swasta, agama dan sekolah antarabangsa. 

Ketua Pegawai Eksekutif MySkills Devasharma Gangadaran berkata masalah itu sudah ada dalam kalangan pelajar sekolah rendah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Oktober, 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif MySkills Devasharma Gangadaran berkata masalah itu tidak dinyatakan kerana kadar penurunan rasmi kebanyakannya mencerminkan mereka yang memilih untuk berhenti di sekolah menengah.

“Masalah itu sudah ada dalam kalangan pelajar sekolah rendah, namun ia tidak diperakui. Ia haanya diberi penekanan ketika pelajar berada di sekolah menengah. 

“Dan masalahnya sama di kawasan bandar dan luar bandar, namun kawasan bandar lebih terdedah,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Angka daripada Jabatan Perangkaan Malaysia tahun lalu meletakkan jumlah pelajar sekolah rendah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan adalah 2,683,992 pada 2015.  Jumlah pelajar sekolah menengah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan adalah 2,072,162 pelajar pada tahun yang sama. 

Laporan Jawatankuasa PBB mengenai Hak Kanak-kanak Mengamati Pemerhatian pada tahun 2007, menganggarkan 125,000 kanak-kanak Malaysia tidak bersekolah dan tiada akses kepada pendidikan sekolah rendah, dan menambah angka itu tidak termasuk pelarian, tiada kewarganegaraan dan kanak-kanak yang tidak didaftarkan. 

Pengarah Yayasan MySkills Pasupathi Sithamparam berkata MySkills hanya memiliki data pelajar kaum India. Dalam kumpulan ini, hampir 7,000 pelajar India tercicir dari sekolah setiap tahun sebelum mencapai Tingkatan Lima.

Enrolmen pelajar India di Tingkatan Satu di sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular Tamil adalah 35,000 pada 2011, namun lima tahun kemudian ketika kohort yang sama perlu duduki peperiksaan SPM, hanyaa 28,000 mengambil peperiksaan itu. 

Pengarah Yayasan MySkills Pasupathi Sithamparam berkata hampir 7,000 pelajar India tercicir dari sekolah setiap tahun sebelum mencapai Tingkatan Lima. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Oktober, 2017.

“(Data kami) hanya untuk komuniti India, bagaimanna dengan anak-anak Cina dan Melayu? Saya percaya jumlahnya lebih ramai kerana apabilaa sistem pendidikan kita membuang pelajar, kita tidak tahu apa yang berlaku pada mereka,” kata Pasupathi. 

Sistem menggagalkan anak-anak

Tindakan berhenti sekolah merupakan satu bentuk corak yang akan berulang dalam keluarga yang mana ibu bapa mereka tidak menamatkan persekolahan, kata Pasupathi, merujuk kepada kajian Institut Penyelidikan Khazanah tahun lalu. 

Kajian itu mendapati kurang 10% kanak-kanak India yang lahir dari bu bapa yang berhenti sekolah pada peringkat sekolah menengah atau tidak pernah bersekolah, hanya mampu meneruskan persekolahan mereka sehingga pengajian tinggi. 

Sebab lain keciciran sekolah termasuklah keretakan rumah tangga, persekitaran tidak sihat, kesukaran dalam prestasi akademik, namun Devasharma berkata kelemahan dalam sistem kebajikan dan pendidikan juga wajar dipersalahkan. 

“Ketidakupayaan belajar tidak didiagnosis di peringkat sekolah rendah. Penilaian pendidikan kita sangat menghakimi, kerana kita hanya ada satu sistem untuk dinilai. 

“Tiada kemudahan sistem sokongan utnuk membantu sekolah (dalam kalangan keluarga miskin). Sekiranya anak-anak tidak ke sekolah, tiada siapa peduli; mereka hanya fikirkan ibu bapa mereka seperti itu, jadi sebab itulah anak-anak berkelakuan sedemikian. 

“Sistem pendidikan tidak mempunyai jaring keselamatan untuk pelajar tercicir sebelum SPM. Sistem menggagalkan anak-anak, menggagalkan mereka yang tidak tidak menunjukkan prestasi yang baik atau mereka yang datang dari keluarga yang miskin, jika anak-anak datang dari keluarga yang kaya mereka akan dihantar ke mana-mana.

“Apabila kamu buang pelajar kerana masalah disiplin, apakah jaringan keselamatan untuk mereka? Kerajaan perlu ada program khas untuk pelajar tercicir, atau sebelum mereka digugurkan, kita perlu ada satu sistem yang akan menjaga mereka sebelum dibuang,” katanya yang menggesa kerajaan untuk memperluaskan program seperti GiatMara, yang memberi pengetahuan dari segi teknikal dan vokasional. 

Lebih sukar kepada golongan miskin

Devasharma menambah, kanak-kanak tercicir daripada persekolahan ini juga cenderung untuk terlibat dengan gengsterisme dan dadah, dengan umur seawal 10 tahun.

Katanya, kanak-kanak dari isi rumah bawah 40% (B40) memerlukan lebih perhatian, berbanding mereka dari keluarga pertengahan dan berpendapatan tinggi yang mampu memiliki pilihan laain sekiranya anak-anak mereka berisiko. 

“Kumpulan B40 memerlukan lebih banyak perhatian kerana kurang peluang. Kecenderungan kepada gensterisme masih belum dilihat ketika pendidikan rendah tetapi ia akan berkembang pada sekolah menengah.

“Jadi mereka tidak pernah dilihat sebagai remaja berisiko, kerana apabila mereka dewasa, mereka akan berakhir di balai polis, pusat tahanan dan pusat pemulihan. 

“Apa yang kamu boleh jangkakan dari ibu tunggal atau ibu bapa kumpulan B40, kanak-kanak biasanya tinggal dengan datuk dan nenek mereka (kerana ibu bapa bekerja). Dan dalam sesetengah kes, jika tida kerana datu dan nenek mereka yang menjadi sistem penyokong, kebanyakan kanak-kanak akan terabai. 

“Saya pernah kaji satu kes yang mana si ayah mempunyai lima isteri dan 32 orang anak dan mereka tinggal dalam satu rumah. Anak perempuan dalam keluarga itu berkahwin ketika mereka berumur antara 16 dan 18 tahun, suami mereka kebanyakannya di penjara,” kata Devasharma. – 18 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen