WONG Yan Ke berkata protes dibuatnya di atas pentas majlis konvokesyen Universiti Malaya (UM) hujung minggu lepas adalah untuk menentang pendirian perkauman naib canselor .
Graduan kejuruteraan awam berusia 23 tahun itu berkata tindakannya adalah tanda tidak bersetuju dengan pendirian Naib Canselor UM Abdul Rahim Hashim dan untuk mendesak pegawai tertinggi universiti ternama negara itu meletak jawatan.
“Saya memang beritahunya yang beliau salah dan tak patut keluarkan komen sebegitu,” kata Wong kepada The Malaysian Insight.
“Ucapannya tentang kaum dan agama sangat tidak boleh diterima. Tambahan pula, beliau adalah tokoh dihormati dalam universiti yang dikenali ramai.”
Wong berkata, beliau hanya mahukan Rahim tahu kenyataannya di Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lepas tidak boleh diterima.
Dalam ucapan pada kongres itu, Rahim didakwa berkata perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 menghapuskan dominasi politik Melayu sehingga menyebabkan hak keistimewaan orang Melayu dipersoalkan.
Rahim juga didakwa memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak mencabar kontrak sosial.
Aktivis mahasiswa berasal dari Bukit Mertajam itu juga menafikan biadap dengan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, menambah ketika kejadian Sultan tidak berada di pentas.
“Ramai yang tuduh saya kurang ajar dan tidak hormatkan Sultan. Saya mahu jelaskan yang Sultan tidak berada di pentas. Saya terima ijazah daripada Tan Sri Ramli Ngah Talib,” kata Wong.
“Saya tak ganggu majlis. Selepas saya terima skrol saya berjalan ke depan tempat duduk NC dan mengeluarkan plakad yang mendesaknya meletak jawatan.
“Ia ambil masa kurang 30 saat dan saya berjalan turun pentas selepas itu.”

Dilaporkan yang Wong selepas menerima skrolnya, menjerit: “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia” ketika memegang plakad yang menyenaraikan sebab mengapa Rahim perlu berundur.
Klip video protes dibuat Wong di atas pentas tular di Facebook, malah ada petisyen dalam talian dibuat mendesak ijazahnya ditarik balik.
Tambah Wong lagi, beliau sudah menjelaskan kepada keluarga apa yang berlaku ketika majlis konvokesyen dan mereka memahami tindakannya.
UM membuat laporan polis terhadap Wong, menuduhnya tidak menghormati majlis konvokesyen dan menganggu protokol.
“UM mengutuk tindakannya yang tidak menunjukkan rasa hormat terhadap upacara konvokesyen dan gangguan terhadap protokol. Ia juga mencemarkan nama UM, graduan dan seluruh komuniti UM.
“Tindakan yang dilakukan pada acara rasmi di khalayak ramai adalah tidak boleh diterima sama sekali.
“UM telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya,” kata universiti itu dalam satu kenyataan hari ini.
Wong mengesahkan beliau akan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur, tengahari ini.
Pada Mac lalu, Wong turut terpalit kontroversi apabila beliau dikasari penyokong Najib Razak ketika majlis forum bekas perdana menteri itu dengan mahasiswa UM.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam dan tiga lagi individu sudah didakwa dengan dua pertuduhan mengasari Wong yang mengadakan protes berhampiran sebuah restoran yang menjadi tempat majlis berlangsung, berhampiran pintu masuk UM. – 16 Oktober, 2019.
Komen