AZMIN Ali berkata hubungannya dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak bergolak dan pertemuan mereka hari ini hanyalah menyentuh soal kesenjangan ekonomi dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Ada ke pergolakan? Tak ada..tak ada..,” katanya menjawab soalan wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Minggu lepas, salah seorang pengasas PKR, Syed Husin Ali mendakwa Azmin merancang untuk keluar parti itu dan menubuhkan parti baru susulan skandal video seks yang dikaitkan dengannya.
Anwar pula dilapor berkata yang pertemuannya dengan Azmin pagi tadi bukanlah pertemuan perdamaian.
“Bukan (mesyuarat perdamaian). Pertemuan itu cuma mesyuarat biasa. Kami hanya bincang masalah ekonomi negara,”kata ahli Parlimen Port Dickson itu.
Turut hadir dalam pertemuan di lobi Parlimen yang berlangsung tidak sampai setengah jam itu ialah Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.
Azmin juga ditanya sama ada Anwar ada memujuknya supaya hadir mesyuarat parti.
“Kenapa dipujuk? Itu tanggungjawab saya. Ada pertemuan parti yang saya pergi.
“Kalau saya tidak ada tugas kerajaan, pastinya saya akan bersama-sama dalam program parti. Jadi tiada masalah,” katanya.
Dilaporkan Azmin tidak pernah hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat sejak dipilih pada November 2018. – 15 Oktober, 2019.
Komen