Hanya mesyuarat biasa dengan Azmin, kata Anwar


Mastura Malak

PERTEMUAN dengan Timbalannya Azmin Ali hari ini hanyalah mesyuarat biasa dan tidak membincangkan soal perdamaian, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar yang merupakan presiden PKR berkata, pertemuan tersebut dianggap mesyuarat tidak rasmi antara mereka yang hanya membincangkan soal ekonomi negara.

“Bukan (mesyuarat perdamaian). Pertemuan itu cuma mesyuarat biasa. Kami hanya bincang masalah ekonomi negara,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu.

Turut serta dalam pertemuan itu adalah Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.

Pertemuan ringkas di bangunan Parlimen berlangsung sekitar jam 12.30 tengahari, selama kira-kira 30 minit.

Mesyuarat perdamaian itu dicadangkan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang menggesa ia diadakan untuk meredakan pertelagahan di antara dua kem dalam parti.

Ia bagi mengukuhkan hubungan antara Anwar dan Azmin yang masih meruncing sejak kemunculan siri rakaman video seks yang dikaitkan dengan menteri hal ehwal ekonomi itu.

Azmin menafikan terlibat dalam skandal video itu dan menyifatkannya sebagai plot untk menjatuhkan karier politiknya.

Penyokong Azmin mendakwa kumpulan yang cenderung kepada Anwar adalah dalang di sebaliknya.

Menjawab cadangan itu, Anwar pada bulan lalu berkata Azmin dan Zuraida yang sudah banyak kali tidak hadir ke mesyuarat penting parti sepatutnya muncul untuk membincangkan isu tersebut. – 15 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen