BEKAS perdana menteri Najib Razak tidak hadir pada perbicaraan rasuahnya untuk hadir ke Dewan Rakyat bagi mempersoalkan pelan pertumbuhan ekonomi 4.8% 2020 Pakatan Harapan.
Dalam perbahasan Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu, Najib berkata unjuran pertumbuhan kerajaan adalah lebih tinggi daripada apa yang diramal penganalisis ekonomi.
“Penganalisis ekonomi di tempat lain meramalkan pertumbuhan KDNK sekitar 4.3% sahaja. Hanya PH sahaja yang meramalkan pertumbuhan tinggi itu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pekan di Dewan Rakyat.
Beliau mempersoalkan sama ada Putrajaya perlu menanggung defisit lebih tinggi daripada 3.2% untuk mencapai pertumbuhan 4.8%.
“Tahun lalu, PH meramalkan defisit sebanyak 3% tetapi sudah melebihi 3.2%,” katanya.
Walaupun, Barisan Nasional juga meningkatkan defisit pada tahun 2009, Najib berkata ia adalah untuk menyelamatkan ekonomi dari krisis ekonomi dunia.
“Berikutan itu, kami mencatatkan defisit yang lebih rendah selama lapan tahun berturut-turut, sehingga PH mengambil alih dalam pilihan raya yang lalu.”
Di bawah BN, sudah ada rancangan untuk mengurangkan defisit daripada 2.8% pada 2018, kepada 2% pada tahun 2019, sebelum mencapai 0.6% pada tahun 2020.
“Tetapi nampaknya defisit dijangka kekal tinggi di bawah PH,” kata bekas menteri kewangan itu.
Defisit kerajaan pada tahun 2018 adalah RM52.2 bilion dan dijangka menjadi RM52.4 bilion tahun ini.
“Sekiranya PH menambah defisit RM50 bilion untuk tiga tahun akan datang, hutang negara kita akan mencecah RM850 bilion. Dan jika ia berterusan, PH akan mencapai RM1 trilion menjelang 2023,” katanya.
Selain itu, Najib berkata beliau tidak melihat apa-apa kesan daripada belanjawan kedua kerajaan PH.
Apabila perbelanjaan kerajaan dikurangkan tahun depan, begitu juga sokongannya kepada ekonomi, kata bekas presiden Umno yang sedang dibicarakan untuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan 1Malaysia Development Bhd dan SRC International Sdn Bhd. – 15 Oktober, 2019.
Komen