Biar PAC siasat BN 'curi RM150 bilion', kata Najib 


Chan Kok Leong

Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa Pakatan Harapan menggunakan pembentangan belanjawan untuk berpolitik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2019.

PUTRAJAYA perlu biarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk siasat dakwaan Barisan Nasional mencuri RM150 biliion, kata Najib Razak.

“Sekiranya tidak benar, maka tindakan boleh diambil terhadap Ahli Parlimen Bagan (Lim Guan Eng),” kata bekas perdana menteri itu pada perbahasan Belanjawan 2020 hari ini.

“Beliau perlu henti guna pembentangan belanjawan tahunan ini sebagai pentas politik.”

Pada pembentangan belanjawan Jumaat lalu, Lim memberitahu Parlimen kerajaan perlu membayar RM2.7 bilion hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Lim berkata rancangan Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 terpesong berikutan kleptokrasi melibarkan RM150 bilion.

Najib berkata PH tidak sepatutnya menggunakan belanjawan seabagi cara untuk kembalikan popularitinya yang makin merosot selepas berkuasa.

“Belanjawan perlu digunakan untuk menyelesaikan masalah. Dan jangan jual semua aset terbaik kita dan lunaskan hutang secepat mungkin, kata Najib yang mana perbicaraan 1MDBnya ditangguh  kerana diberi slot untuk berucap petang ini.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah, anak guamnya berada di Parlimen untuk berucap.

Bagi mendapatkan persetujuan mahkamah, Shafee berkata sebelum ini ahli Parlimen DAP mendiang Karpal Singh dibenarkan hadir pada sesi parlimen ketika dibicarakan kerana hasutan.

Shafee memberitahu mahkamah di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa Najib, yang merupakan Ahli Parlimen Pekan, ingin menjalankan tugas Parlimen.

Selepas berhujah, Noor Amin Ahmad mengingatkan Najib bahawa ketika pentadbirannya, hutang kerajaan lebih daripada dua kali ganda.

“Daripada beliau menjadi PM pada 2009 dan sehingga tewas pada 2018, hutang negara bertambah daripada RM300 bilion kepada hampir RM700 bilion, kata ahli Parlimen Kangar. – 15 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen