TIMBALAN Menteri Dalam Negeri Azis Jamman tidak fikir kementeriannya mampu menyiapkan semakan semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan membentangkannya pada sidang Parlimen yang sedang berlangsung sekarang.
Azis berkata kementeriannya sedang mempercepatkan semakan semula akta tersebut tetapi memandangkan tugas itu rumit ia perlu dilakukan dengan cermat sebelum sebarang pindaan dibuat.
“Kementerian Dalam Negeri dalam proses untuk mengemas kini, mengkaji dan memperincikan perkara-perkara yang kita rasa drakonian dalam Sosma itu atau perkara yang kita rasa keterlaluan. Selagi tidak ada keputusan dasar ke atas perkara itu, maknanya Sosma itu masih ada.
“Lebih cepat lebih baik, tetapi realitinya kita tahu kompleksiti akta ini. Kalau kita kelam kabut, hanya untuk menyedapkan hati sesetengah pihak. Nanti, akhirnya bila dah buat, silap, kena undur balik.
“Kita tak mahu ia berlaku, maka kita cukup teliti dan berhati-hati dalam memastikan bila kita umumkan (pindaan) nanti ia akan jadi satu akta yang tetap,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Menjawab soalan sama ada Sosma akan dihapuskan, ahli Parlimen Sepanggar itu berkata manifesto Pakatan Harapan tidak pernah menyebut mahu menghapuskan akta itu.
“Ada sebut tak dalam manifesto PH ia akan dihapuskan? Ia kata mana-mana akta yang bersifat drakonian akan dilihat balik,” jawabnya. – 15 Oktober, 2019.
Komen