TIMBALAN Presiden Umno Mohamad Hasan mempersoalkan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang mencadangkan supaya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dikaji semula.
Mohamad berkata, tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan Sosma adalah untuk mencegah aktiviti-aktiviti pengganas, sama seperti yang dilakukan terhadap Daesh dan kongsi gelap sebelum ini.
“Sebelum ini, tiada pulak terdengar suara Aminudin membela mereka-mereka yang ditahan. Tetapi tiba-tiba melenting pula bila pemimpin-pemimpin DAP ditangkap atas kesalahan yang sama.
“Biarlah pihak PDRM menjalankan tugas mereka.Takkan tak percaya dengan kerajaan sendiri pula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Aminuddin mencadangkan supaya Sosma dikaji semula kerana ianya merupakan undang-undang yang diwujudkan oleh kerajaan sebelum ini yang mendapat bantahan daripada pihak pembangkang ketika itu.
Desakan kuat untuk mengkaji semula Sosma timbul ketika PDRM penahanan 12 individu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seremban Jaya, P Gunasekaran yang dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Selain Aminuddin, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden PKR Anwar Ibrahim juga turut membuat gesaan yang sama kerana mendakwa Sosma pernah disalah guna terhadap pihak atau individu yang membongkar kegiatan korupsi.
Anwar menyifatkan Sosma terlalu ‘keras’ dan undang-undang yang diperuntukkan di dalamnya terlalu kuat dan perlu dipinda. – 15 Oktober, 2019.
Komen