PETER Handke rakyat Austria dipilih menerima Hadiah Nobel Sastera 2019. Penulis pentas dan novelis ini bukan nama popular di Malaysia. Malah, langsung tidak pernah dispekulasikan sebagai bakal penerima anugerah sastera paling berpretij di dunia sejak 1901.
Sasterawan yang juga pengarah filem dan penterjemah karya berusia 67 tahun ini dihitung Akademi Sweden sebagai hebat. Handke pernah menerima anugerah Georg Buchner Prize pada 1973 dan Nestroy Theatre Prize (2018).
Skrip pentas 1966 berjudul Offending the Audience dan novel The Goalie’s Anxiety at the Penalty Kick (1970) menjadi perentas karya-karya penulis kelahiran bandar Griffen pada 6 Disember 1942.
Selama lebih setengah dekad, Handke berkarya secara konsisten hingga 2010 lalu. Antaranya, skrip pentas A Sorrow Beyond Dreams (1966) dan Kaspar (1967).
Pada dekad 70-an, penulis ini menghasilkan novel Short Letter, Long Farewell dan buku autobiografi A Sorrow Beyond Dreams: A Life Story (1972).
Selain itu, novel A Moment of True Feeling (1975) dan skrip pentas The Left-Handed Woman (1977).
Handke punya rekod cemerlang berkarya pada usia tiga puluh hingga empat puluhan. Pada dekad 80-an, novelnya Repetition (1986) dan Wings of Desire (1987) mendapat perhatian.
Penulis berbahasa Jerman ini turut aktif pada dekad seterusnya dengan menerbitkan My Year in the No Man’s-Bay (1996).
Pada 1996 eseinya A Journey to the Rivers: Justice for Serbia sangat kontroversi. Esei ini mengkritik media massa Barat yang dianggap bias terhadap kerajaan Serbia. Malah, Handke menyalahkan Pakatan Barat yang mengiktiraf kemerdekaan Bosnia Herzegovina dan Croatia.
Handke terus mengisi alaf baru dengan karya pentasnya The Moravian Night (2008) dan Sorm Still (2010). Secara konsisten beliau tetap menyengat menulis pada usia 60-an.
Selain kelangsungan hasil sasteranya terutama karya pentas dan novel, Handke aktif dalam penghasilan filem sebagai pengarah dan penulis skrip.
Apa kontroversi Handke?
Beliau menyokong dasar penghapusan etnik Perang Balkan. Sekali gus menyebelahi Presiden Serbia, Slobodan Milosevic yang melancarkan perang penghapusan etnik Bosnia dan Croat pada 1992 hingga 1995.
Milosevic juga bertangungjawab dalam gerakan tentera dan etnik Serbia yang membunuh 57 ribu etnik Albania Muslim di Kosovo pada 1998 hingga 1999.
Wujud kekecewaan kerana Handke menzahirkan sokongan jahat ini secara terbuka melalui eseinya yang diterbitkan pada 1996. Selain menyalahkan media massa, penulis ini menganggap tindakan Serbia sebagai sengaja tidak difahami Barat.
Pada 1999, Milosevic selaku ketua komunis Serbia ditangkap dan dibicarakan di Tribunal Jenayah Antarabangsa atas dakwaan perlakuan jenayah berkaitan Perang Bosnia, Croatia dan Kosovo.
Milosevic bersama Radovan Karazic dan Ratko Mladic membunuh hampir 300 ribu nyawa. Majoritinya umat Islam.
Ini bukan pembunuhan biasa. Ia dianggap penghapusan etnik terburuk di Eropah selepas Adolf Hitler membunuh 6 juta Yahudi dalam Perang Dunia Kedua pada 1941 hingga 1945.
Mengiktiraf Handke memalukan masyarakat bertamadun. Akademi Sweden memusnahkan usaha memartabatkan kemanusiaan. Lebih ironinya, cabang Hadiah Nobel turut mempromosikan Hadiah Keamanan.
Ketika saya mula menjadi wartawan pada 2 Januari 1994, isu Perang Balkan sangat mengganggu emosi. Malah, hingga sekarang - apabila melihat kubur demi kubur pembunuhan massa umat Islam terus ditemukan saban tahun.
Angka kematian akan meningkat secara berterusan apabila usaha pencarian kubur mangsa terus dilakukan. Sebagai negara merdeka, Bosnia Herzegovina, Croatia dan Kosovo akan terus mencari bukti kebenaran.
Ratusan ribu keluarga waris masih mahukan pengesahan status korban yang hilang. Usaha mencari kebenaran terhadap kekejaman Perang Balkan tetap diteruskan.
Politik kotor Hadiah Nobel
Menangnya Handke bererti satu kekalahan pada kemurnian sastera sejagat. Malah, kemanusiaan secara amnya. Saya teringat kata-kata Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dalam satu perbualan peribadi September lalu.
“Hadiah Noble ada politiknya. Sistem agihan pergiliran antara Eropah dan Amerika Syarikat bukan lagi rahsia.
“Sesekali dimenangkan penulis Latin, Asia dan Afrika,” kata Muhammad.
Sejarah Perang Balkan
Perang Balkan berpanjangan selama tiga tahun, sembilan bulan dan dua hari. Ada sumber menyebut, 300 ribu mati dibunuh dengan 90% ialah Muslim berdarah Bosnia dan etnik Albania di Kosovo.
Perang bermula pada 6 April 1992 di Bosnia. Penyembelihan umat Islam paling teruk dilakukan di Sebrenica, Bosnia Herzegovina. Cara jahat Milosevic dan sekutunya tidak dapat dimaafkan. Rejim Serbia tidak berniat menghalau Muslim Bosnia dan Kristian Croat meninggalkan Balkan.
Milosevic menggunakan cara Hitler - menghapuskan musuh dengan pembunuhan besar-besaran. Hanya manusia gila saja yang menerima cara ini. Handke menyokong Milosevic - ertinya beliau sasterawan gila.
Apabila Akademi Sweden menganugerahkan Hadiah Noble kepadanya, ini satu pengiktirafan kepada seniman yang menyokong jenayah perang.
Akademi Sweden mungkin lupa atau buta melihat sejarah kejahatan Milosevic yang hanya berakhir pada sejarah kejahatan Milosevic yang hanya berakhir pada 14 Disember 1995.
Itupun setelah Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) campur tangan dengan mengebom Serbia berhari-hari. Satu tindakan yang dilihat sangat perlu dilaksanakan setelah desakan masyarakat dunia tidak diendahkan Milosevic.
Di Kosovo, tentera dan separa militer Serbia terus mengganas dan melakukan pembunuhan pada 1998 hingga 1999. Kekejaman yang mencatat kematian lebih 57 ribu nyawa.
Kesan ketakutan berpanjangan. Pada 15 Februari 2008, 48 jam menjelang tarikh pengisytiharan kemerdekaan pada 17 Februari, saya bertugas menjalankan liputan sambutan kemerdekaan di Kosovo.
Di Mitrovica, pekan kecil di pinggir Pristina, penembak tepat separa tentera etnik Serb masih aktif melakukan pembunuhan senyap. Di sepanjang jambatan, kawalan masih diberikan tentera Nato. Rakyat Kosovo beragama Islam tidak bersenjata.
Malah, saya nekad menyeberangi jambatan Mitrovica memasuki ke kawasan puak Serb. Melihat sendiri dari jarak dekat, puluhan bangunan perumahan etnik Serb yang masih dikawal para militer pro Serbia.
Saya tergamam ketika menziarahi kubur massa di Recak, Pristina. Sejarah serangan etnik Serbia yang membunuh puluhan nyawa pada satu malam.
Selepas kalah di Bosnia dan Croatia pada 1995, Serbia berusaha menguasai Kosovo pada 1998. Berbeza dengan Bosnia, majoriti Muslim Kosovo ialah etnik Albania.
Apabila penyembelihan dilaksanakan, terdapat 1.8 juta umat Islam. Selain terbabit secara ketenteraan, Rejim Serb membekalkan senjata pada etniknya untuk menghapuskan umat Islam.
Pembunuhan keluarga pemimpin pejuang Islam Kosovo, Adam Yeshari pada 7 Mac 1998, membangkitkan penentangan balas umat Islam Kosovo. Yeshari, bekas komandan muda Tentera Albania berusia 42 tahun, dibunuh bersama 39 ahli keluarganya termasuk bayi berusia 6 bulan.
Setelah dibunuh, seluruh rumah dan semua mayat dibakar. Yeshari pernah berkhidmat dalam Tentera Albania, tetapi melarikan diri dan pulang ke kampung halamannya di Prekaz, Pristina. Pada 1991, beliau menubuhkan Tentera Pembebasan Kosovo (KLA).
Kekejaman Serbia terhadap keluarga Yeshari satu titik kebangkitan. Pertama kali umat Islam etnik Albania di Kosovo memilih bangkit berperang untuk menuntut Kosovo memilih bangkit berperang untuk menuntut kemerdekaan.
Perang Kosovo berlaku pada 28 Februari 1998 dan berakhir pada 11 Jun 1999. Itu pun setelah Nato melancarkan serangan udara terhadap Serbia selama 78 hari.
Selama tempoh penyiaran artikel pro Rejim Serbia, Handke tidak pernah menarik semula sokongan terhadap pembunuhan etnik oleh kaum Serb hingga hari ini.
Penulis ini mendiamkan diri, walaupun dua tahun selepas artikel tersiar dan selepas Serbia kalah di Bosnia Herzegovina dan Croatia pada 1995, Milosevic terus membunuh umat Islam di Kosovo. Alhamdulillah. Sepuluh tahun selepas dilindungi Nato, Kosovo merdeka pada 2008.
Mengingati semula saat menziarahi Rumah Peringatan Yeshari dan kubur massa korban Perang Kosovo di Junik, Prekaz, Belacevac, Lodja, Glodjane dan Kosare - menerbitkan rasa sakit hati terhadap Akademi Sweden.
Memang tidak banyak boleh diharapkan terhadap nilai kemanusiaan dari Sweden. Ini bangsa yang sejarahnya sentiasa neutral dan tidak memihak sejak Perang Dunia Pertama.
Negara tanpa jiwa seperti Sweden pasti tanpa rasa bersalah akan memuliakan penulis seperti Handke. – 16 Oktober, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen