Sosma tidak akan dimansuh, hanya dipinda, kata Liew


Chan Kok Leong

Menteri Undang-Undang Liew Vui Keong berkata Sosma telah dibincangkan dalam Kabinet dan pendekatan diambil adalah dengan mengubah sebahagian daripadanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2019.

PUTRAJAYA akan memindah dan tidak memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), kata Liew Vui Keong susulan bantahan terhadap penggunaan undang-undang berkenaan untuk menahan 12 individu termasuk dua Adun DAP minggu lepas.

Menteri undang-undang itu berkata Sosma telah dibincangkan dalam Kabinet dan pendekatan yang diambil adalah dengan mengubah sebahagian daripadanya.

“Dua yang dilihat kerajaan adalah penahanan selama 28 hari dan akses kepada peguam,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Bagaimanapun katanya, pindaan itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat selepas Kementerian Dalam Negeri menyiapkan kajiannya.

“Saya diberitahu mereka (KDN) telah melihatnya dan jika mereka boleh memasuki mesyuarat semasa, ia lebih baik. Jika tidak, kita masih mempunyai tahun depan,” katanya.

Seksyen 4 (5) Sosma memberikan kuasa kepada polis untuk menahan seseorang yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas untuk tempoh tidak melebihi 28 hari untuk siasatan.

Sedangkan Seksyen 4 (11) Sosma menyatakan bahawa sub-seksyen 4 (5) akan disemak setiap lima tahun dan akan terhenti berkuatkuasa apabila diluluskan oleh kedua-dua Dewan Parlimen dan Dewan Negara untuk tindakan melanjutkannya.

Parlimen meluluskan tambahan itu ke Seksyen 4 pada April 2017 dan bahagian itu hanya akan disemak untuk tahun 2022.

Sementara itu Liew memberitahu pemberita bahawa undang-undang pembiayaan politik baharu akan dikaji semula oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Akta Pembiayaan Politik telah dibincangkan dalam Kabinet dan kami telah memutuskan untuk merujuknya kepada Jawatankuasa Pemilihan Rang Undang-Undang kerana ia melibatkan semua ahli politik,” katanya. – 15 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen