Pinda Sosma, tak perlu mansuh, kata Mat Sabu


Ravin Palanisamy

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata Sosma perlu ditambah baik dari masa ke semasa untuk mengelakkan disalahguna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2019.

AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak perlu dimansuhkan tetapi dikaji semula dan dipinda, kata Mohamad Sabu.

Menteri pertahanan itu berkata pindaan itu bagi mengelakkan Sosma disalah guna.

“Tak perlu mansuh Sosma. Pada pandangan saya, ia perlu ditambah baik dari masa ke semasa untuk mengelakkan disalahguna,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau juga merujuk kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Marian Chin yang pernah ditahan di bawah Sosma semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) atas penglibatannya dalam perhimpunan Bersih.

“Maria hanya terlibat dalam perhimpunan Bersih. Perkara macam ini tak patut berlaku. Jadi, akta (Sosma) perlu dipinda,” jelasnya.

Mohamad ketika ditanya mengenai penangkapan beberapa individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) berkata beliau percaya pihak polis akan menjalankan siasatan menyeluruh.

“Saya yakin polis akan kendalikan kes ini dengan sebaik mungkin.”

Seramai 12 individu termasuk dua wakil rakyat DAP ditahan polis kerana disyaki ada kaitan dengan LTTE.

Khamis lalu Adun Gadek yang juga Exco Melaka G. Saminathan dan Adun Seremban Jaya P. Gunasekaran ditahan bersama tujuh individu lain. Lima lagi ditahan pada Sabtu.

Tangkapan dibuat di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. – 15 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen