Melayu tak boleh masuk jika harga tanah Kampong Bharu tinggi, kata PM


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menghadiri Expo Peranti Perubatan Malaysia 2019 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 15 Oktober, 2019.

PEMBANGUNAN di Kampong Bharu tidak akan dapat dimiliki orang Melayu sekiranya kerajaan tawarkan harga tinggi kepada waris dan pemilik tanah pada masa ini, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata harga yang tinggi itu kelak akan menyebabkan pembangunan hartanah tersebut tidak terjual kerana orang Melayu tidak mampu untuk memilikinya.

“Ya, kita boleh naikkan harga kepada pemilik tanah. Yang kita khuatir, dengan kenaikan harga itu, bangunan yang didirikan seperti rumah, flat dan apartment akan naik harga juga.

“Ini akan menyebabkan sekali lagi kita tidak dapat jual dan Kampong Bharu adalah untuk orang Melayu. Orang Melayu tidak banyak yang ada duit,” katanya dalam sidang media hari ini

Oleh itu, hartanah tersebut tidak boleh dibandingkan dengan pembangunan di sekitar Kampong Bharu, yang dinilai sehingga RM7,000 sekaki persegi, katanya.

“Kalau buat macam itu, orang Melayu tidak boleh masuklah. Sebab itu kita bagi harga istimewa.

“Orang itu jual tanah dia harga murah, kita pun boleh buat bangunan, apartment, flat yang lebih murah – yang mampu dimiliki oleh orang Melayu,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad semalam mengenai tawaran baharu kepada pemilik tanah berkenaan untuk menyelesaikan kemelut yang timbul.

Tawaran berkenaan yang bakal diumumkan minggu depan disifatkan sebagai yang terakhir oleh kerajaan, susulan perbincangan yang dibuat menteri itu dengan Dr Mahathir minggu lalu.

Dr Mahathir ditemui pemberita merasmikan Expo Peranti Perubatan Malaysia 2019 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre hari ini. – 15 Oktober, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen