Ramai wanita berhijab untuk tunjuk imej Muslimah, kata kajian


Diyana Ibrahim Alfian Z.M. Tahir

Kajian SIS menunjukkan 90% responden setuju setuju memakai hijab adalah wajib kepada wanita Islam bagi soalan berhubung ketakwaan dan penampilan. – Gambar AFP, 15 Oktober, 2019.

RATA-RATA wanita Islam di Malaysia berhijab untuk menunjukkan imej Muslimah yang patuh bagi mengelakkan persepsi negatif dan bukannya kerana kemahuan diri sendiri, dedah satu kaji selidik.

NGO Sisters In Islam (SIS) itu mendapati 80% daripada 675 wanita seluruh Malaysia berumur antara 18 hingga 55 tahun setuju mengenai cabaran untuk memenuhi kehendak dan tuntutan masyarakat itu.

Ia dinyatakan dalam kaji selidik bertajuk “Persepsi dan Realiti Hak Umum dan Peribadi Wanita Islam di Malaysia” yang dilancarkan hari ini.

Seramai 59% lagi mengaku berdepan masalah penguatkuasaan berdasarkan nilai moral dan pernah dimalukan secara terbuka, dalam bahagian Gambaran Wanita Islam di Malaysia.

Seramai 90% responden juga setuju setuju memakai hijab adalah wajib kepada wanita Islam bagi soalan berhubung ketakwaan dan penampilan.

“Bagaimanapun ada pendapatan yang bertentangan di mana 73% responden berpendapat wanita masih boleh dilihat sebagai wanita Islam yang patuh biarpun tidak memakai hijab.

“49% responden turut berpandangan seseorang boleh menjadi penganut yang baik atau patuh jika mereka (lelaki atau perempuan) tidak sembahyang lima kali sehari,” kata laporan itu.

Kajian itu juga mendapati, wanita diasuh untuk memenuhi desakan atau tuntutan masyarakat itu sejak kecil.

Majoriti responden juga menerima tekanan untuk memakai pakaian yang baik dan sesuai untuk menjaga nama baik keluarga sebagai seorang wanita Muslim.

Tinjauan itu juga mendapati, 78% wanita yang diwawancara menyatakan ibu bapa sangat mengongkong dan 75% berkata mereka tidak diberi kebebasan membuat keputusan.

Seramai 70% berkata mereka dituduh berkelakuan buruk jika tidak mendengar kata ibu bapa dan 68% menyatakan ibu bapa enggan membenarkan mereka berdikari. – 15 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen