Zakir Naik ‘individu berbahaya’, semak status PR, gesa pemimpin BN


Sheridan Mahavera

Dr Zakir Naik menjadi individu dikehendaki di India kerana didakwa menggalakkan propaganda keganasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2017.

KIRA-KIRA 300,000 kaum India yang tinggal di negara ini sejak negara merdeka masih tidak mempunyai kad pengenalan. Namun, seorang pendakwah Islam kontroversi dari India dengan mudah diberikan taraf pemastautin tetap (PR) lima tahun lalu.

Mengapa?

Status PR Dr Zakir Naik terus menjadi subjek kontroversi apabila lebih ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) menggesa semakan semula memandangkan komen beliau menghina bukan Islam.

Peguam dan bekas timbalan menteri turut mempersoalkan bagaimana Zakir layak mendapat status PR walaupun ketika rancangan memberikan kad pengenalan kepada 300,000 rakyat Malaysia berbangsa India diabaikan Kabinet.

Pemimpin BN James Masing berkata Zakir adalah “individu berbahaya” bagi sebuah negara majmuk seperti Malaysia dan status PR itu perlu dikaji semula.

“Zakir adalah individu berbahaya untuk tinggal di Malaysia yang berbilang kaum dan agama. PR beliau perlu dikaji semula,” kata Masing, yang juga presiden Parti Rakyat Sarawak, kepada The Malaysian Insight.

“Kita hidup dengan aman kerana menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak mengutuk agama lain hanya kerana mereka berbeza daripada kita,” kata timbalan ketua menteri Sarawak.

Dalam satu wawancara beliau, Zakir didakwa berkata: “Bagaimana kita boleh membenarkan ini (bangunan kuil dan gereja di negara Islam) apabila agama mereka salah ... apabila apa yang mereka sembah adalah salah.

Beliau juga dikehendaki India bagi menjalankan siasatan berhubung penyebaran propaganda keganasan.

Zakir melarikan diri India selepas siasatan dilancarkan terhadap beliau dan organisasinya, Yayasan Penyelidikan Islam, kerana propaganda keganasan.

Seorang lagi pemimpin BN, Senator Chong Sin Woon mengkritik bagaimana kumpulan pelampau Melayu seperti Perkasa mengagungkan Zakir, yang baru-baru ini menerima anugerah pahlawan daripada persatuan itu.

Anugerah itu diberikan kepada pengasas Yayasan Penyelidikan Islam berpangkalan di India, walaupun komen beliau dilihat sebagai memburukkan bukan Islam dan agama lain.

“Beliau tidak boleh dilayan seperti seorang wira. Kita mempunyai kewibawaan mencukupi untuk menangani isu kaum dan agama di negara ini,” kata Chong, yang juga timbalan menteri pelajaran memberitahu The Malaysian Insight.

“Jika beliau terus mengungkapkan kenyataan menghina terhadap bukan Islam maka kita perlu mempertimbangkan semula statusnya (PR),” kata ketua Pemuda MCA.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Zakir, yang dikehendaki di India kerana didakwa menghasut keganasan, diberikan status PR di Malaysia lima tahun lalu.

Semalam, Menteri Kabinet Dr S. Subramaniam berkata Zakir tidak diperlukan di Malaysia walaupun beberapa kumpulan seperti Perkasa mendakwa pendakwah itu menyumbang kepada kemajuan Islam.

Pada 11 April, polis mengharamkan ceramah Zakir yang dijadualkan diadakan di Melaka tentang Islam dan Hindu.

Chong bersetuju dengan pandangan Subramaniam, sambil menambah Malaysia mempunyai jalinan keharmonian dan keamanan antara pelbagai penganut agama sejak beberapa dekad.

Seorang lagi Timbalan Menteri Kabinet Devamany S. Krishnasamy juga menggesa kerajaan mempertimbangkan semakan semula status PR Zakir.

“Jika beliau terus menyebabkan ketidakharmonian, maka kita perlu secara serius mempertimbangkan keputusan menyemaknya semula (pemberian status PR),” kata Devamany.

“Beliau tidak relevan untuk Malaysia dan fabrik masyarakat kita. Beliau tidak boleh mengganggu keamanan yang kita bina berdekad lamanya.”

Komen pemimpin BN ini susulan gesaan kumpulan bukan Islam untuk membatalkan status pendakwah itu.

Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) mempersoalkan bagaimana Zakir boleh memperoleh status PR apabila begitu ramai kaum India di Malaysia tidak mempunyai kad pengenalan.

“Semasa Hindraf di Jabatan Perdana Menteri, kita menyediakan kertas cadangan komprehensif ... untuk menyelesaikan anggaran ribuan kaum India tanpa kerakyatan yang hidup sepanjang hayat mereka di negara ini sejak kemerdekaan pada 1957 namun ia diketepikan begitu sahaja,” kata Pengerusi Hindraf, Waytha Moorthy Ponnusamy.

“Kini kita mempunyai pentadbiran yang kami percaya bertindak secara ultra vires dengan memintas Perlembagaan dan keperluannya seperti dilihat dalam kes Zakir Naik tanpa sebarang akauntabiliti dan tanggungjawab terhadap negara dan rakyat.”

Waytha Moorthy berkata, individu yang memohon PR hendaklah memenuhi beberapa syarat. Ini termasuk sama ada mendepositkan sekurang-kurangnya AS$2 juta ke dalam akaun bank tempatan atau menjadi pakar bertauliah. Pemohon juga perlu mempunyai rekod kelakuan baik dari negara asalnya.

“Hindraf gagal melihat bagaimana Zakir layak dengan semua syarat itu,” kata Waytha Moorthy.

“Melainkan secara alternatif menteri dalam negeri sebelum ini memutuskan menggunakan Seksyen 55 Akta Imigresen dengan kuasa untuk mengecualikannya. Jika ya, adakah warta menyokong dan asasnya seperti dikehendaki?”

Kumpulan hak Melayu Perkasa, bagaimanapun, membidas pengkritik status PR Zakir di Malaysia, berkata mereka perlu dididik mengenai hak dan kuasa kerajaan.

“Malaysia adalah jelas sebuah negara berdaulat dan seperti yang lain, mempunyai hak dan prerogative memberi PR pada sesiapa,” kata Naib Pengerusinya, Hassan Basri Muhammad, dipetik berkata oleh portal berita FMT.

Awal minggu ini, Perkasa menganugerahkan Zakir dengan “Anugerah Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa Negara”, atas sumbangan beliau terhadap perjuangan Islam. – 21 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen