Undang-undang keluarga Islam tidak berubah kerana dipolitikkan, kata SIS


Diyana Ibrahim

Sisters in Islam menganjurkan Persidangan Islam dan Hak Asasi Wanita bermula hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 Oktober, 2019.

PEMBAHARUAN undang-undang keluarga Islam sukar mencapai kemajuan di Malaysia kerana agama itu sendiri dipolitikkan di negara ini, kata Sisters in Islam (SIS).

Pengarah eksekutifnya Rozana Ismail berkata walaupun kerajaan kini lebih terbuka dan mendengar pandangan namun sehingga sekarang mereka tidak nampak usaha untuk mengemaskini undang-undang keluarga Islam, selepas cadangannya dibangkitkan sejak 2006.

“Sudah tentu politik agama membuatkan sukar untuk kita menggesa pembaharuan undang-undang dilaksanakan.

“Ramai yang percaya, hal keluarga tidak boleh disentuh, tapi kalau tengok zaman nabi pun Rasulullah cuba untuk membuat perubahan dan turut mendapat tentangan dari masyarakat sekelilingnya,” katanya dalam wawancara dengan The Malaysian Insight di Kuala Lumpur.

Menyelesaikan ketidakadilan terhadap wanita Muslim adalah antara agenda penganjuran Persidangan Islam dan Hak Asasi Wanita yang bermula hari ini.

Pengurus program SIS, Shareena Sheriff berkata pihak mereka berharap kerajaan baharu, yang mentadbir sejak setahun lalu, akan memperjuangkan pembaharuan undang-undang Islam.

Pengarah Eksekutif SIS Rozana Ismail (kiri) dan Pengurus Program SIS Shareena Sheriff. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 Oktober, 2019.

“SIS sudah bercakap mengenai pembaharuan undang-undang selama bertahun-tahun, melibatkan hak wanita Muslim terutamanya dalam undang-undang keluarga.

“Ada banyak isu yang perlu disentuh. Perkembangan baharu datang bersama cabaran dan masalah baharu. Pindaan terakhir pada 2005. 

“Sudah 13 tahun. Banyak yang sudah berubah. Undang-undang keluarga Islam perlu respons kepada realiti masyarakat hari ini. 

“Ertinya ada banyak yang perlu dilakukan untuk kesaksamaan bagi wanita,” katanya.

Rozana setuju masalah ini berlaku antaranya kerana kurang pakar Islam dari kalangan lelaki yang bercakap tentang hak wanita.

“Walaupun ada yang bercakap mengenainya tetapi jarang dan kurang meyakinkan masyarakat bahawa ini isu hak asasi manusia yang serius,” katanya.

Persidangan empat hari ini akan mendedahkan laporan kaji selidik SIS mengenai hak wanita Mulsim hasil hasil temu bual dengan 675 wanita di seluruh Malaysia.

Kaji selidik bertajuk “Persepsi dan Realiti Hak Umum dan Peribadi Wanita Islam di Malaysia” itu dibuat antara pertengahan tahun lepas sehingga awal tahun ini. – 15 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen