Jangan perkecil pelan tindakan masyarakat India, kata presiden MIC


Noel Achariam

Pelan Tindakan India Malaysia dilancarkan Perdana Menteri Najib Razak awal tahun bertujuan bertujuan memenuhi keperluan asas, meningkatkan pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan, serta penyertaan masyarakat India di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2017.

WALAUPUN ada pihak yang memperkecilkan Pelan Tindakan India Malaysia (MIB) tetapi dengan penjelasan yang tepat komuniti itu akan menerimanya, kata Presiden MIC Dr S. Subramaniam.

Menteri kesihatan itu berkata ada orang yang meremehkan MIB ketika diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak awal tahun ini.

“Kami akan terus memberi penjelasan tentang MIB untuk mendapatkan keyakinan mereka (masyarakat India). Dengan penjelasan yang tepat mereka akan menerimanya,” katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka MIC Deepavali di Batu Caves, Gombak, hari ini.

Menjelang pilihan raya umum akan datang, Putrajaya telah mengumumkan peruntukan lebih RM1 bilion kepada masyarakat India di bawah MIB.

Najib berkata RM500 juta akan diperuntukkan kepada skim pelaburan unit amanah Permodalan Nasional Bhd untuk golongan India kategori B40.

B40 merujuk kepada keluarga dengan pendapatan isi rumah RM3,855 dan ke bawah.

Dr Subramaniam juga berkata sokongan sokongan masyarakat India kepada kerajaan dan Barisan Nasional sangat menggalakkan.

“Dengan pengumuman MIB, terdapat banyak program yang akan dijalankan pada tahun-tahun akan datang.

“Program ini akan dijalankan secara berkala. Kita bergerak sebagai pihak pengurusan yang sistematik bagi memastikan matlamatnya dipenuhi (dalam MIB).”

Dr Subramaniam berkata MIB memberikan keyakinan baru kepada komuniti India dan mereka dapat melihat ia diterjemahkan melalui sokongan yang diterima.

MIB adalah pelan 10 tahun untuk dilaksanakan sepenuhnya menjelang akhir 2027. Ia bertujuan memenuhi keperluan asas, meningkatkan pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan, serta meningkatkan penyertaan masyarakat itu. – 18 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen