Pakar cukai gesa Putrajaya pantau rapi SST


Chan Kok Leong

Dr Veerinderjeet Singh berkata SST yang diperkenalkan semula oleh Pakatan Harapan tahun lepas boleh berfungsi dengan baik jika dipantau rapi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Oktober, 2019.

CUKAI Jualan dan Perkhidmatan (SST) boleh membantu meningkatkan perolehan kerajaan tetapi ia perlu dipantau rapi untuk memastikan kepatuhan penuh, kata pakar cukai.

Dr Veerinderjeet Singh berkata walaupun sebenarnya sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) lebih berkesan untuk mengutip cukai, SST yang diperkenalkan semula oleh Pakatan Harapan tahun lepas boleh berfungsi dengan baik jika dipantau rapi.

“GST lebih berkesan kerana ia berdasarkan mekanisme input-ouput.

“Ia berkesan kerana ada syarat dan keperluan untuk pemfailan, audit dan penyimpanan rekod dalam semua tahap rantaian (pengedaran),” kata Veerinderjeet dari Axcelasia Taxand Sdn Bhd.

Jelasnya, GST adalah cukai berantai sedangkan SST adalah sistem cukai selangkah.

“Tetapi, ia boleh berkesan selagi mana kerajaan dapat memantaunya dengan berkesan dalam pelbagai syarikat,” katanya pada sebuah forum pasca belanjawan di Bank Negara Malaysia hari ini.

Kutipan SST untuk 2019 dijangkakan mencecah RM22 bilion, hampir separuh daripada jumlah yang boleh dikutip jika GST dilaksanakan.

Veerinderjeet juga menjelaskan kutipan SST kurang kerana ia hanya meliputi separuh daripada barangan dan perkhidmatan berbanding GST.

“Perolehan SST kurang kerana ia hanya meliputi 38% barangan, GST melibatkan 70% (barangan dan perkhidmatan).

“Dasar GST lebih besar. Jika SST diluaskan kepada 70%, ia juga akan mengutip perolehan yang sama.”

Tambahnya lagi, disebabkan kerajaan sudah memutuskan untuk melaksanakan SST berbanding GST, tidak ada banyak manfaat isu itu terus diperdebatkan.

“Isunya sekarang adalah bagaimana menjadikan SST lebih berkesan dan membina ciri dalam sistem untuk bergerak ke depan.”

Timbalan Setiausaha Kanan (Bahagian Cukai) Kementerian Kewangan MA Sivanesan bersetuju yang SST ada kelemahan tetapi Putrajaya sudahpun membuat keputusan untuk menggunakannya.

“Kita boleh baikkan jumlah barangan yang boleh dicukai di bawah SST tetapi ini akan memberi kesan kepada harga akhir. Dan akhirnya kita juga perlu berdepan dengan isu inflasi,” katanya.

PH memansuhkan GST dan memperkenalkan semula SST bagi memenuhi janji pilihan rayannya, tetapi berdepan kecaman pembangkang kerana jumlah pendapatan kerajaan kurang menerusi SST. – 14 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen