Kerajaan ada 'peranan seimbang' bantu pembeli dan pemaju rumah, kata pegawai MoF


Chan Kok Leong

Pembeli dan pemaju perlu sama-sama dibantu untuk elak renjatan pasaran, kata Pengarah Jabatan Belanjawan Negara MoF Johan Mahmood Merican. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Oktober, 2019.

KERAJAAN berperanan membantu pembeli rumah dan pada masa sama mengurangkan lambakan hartanah tidak terjual dalam pasaran negara, kata seorang pegawai Kementerian Kewangan.

“Walaupun kita boleh tolong pembeli untuk beli rumah mampu milik dan dapat akses pembiayaan, kerajaan juga ada peranan penyeimbang.

“Ia tak bantu ekonomi jika ada lambakan besar (hartanah) dalam pasaran,” kata Pengarah Jabatan Belanjawan Negara MoF Johan Mahmood Merican dalam sebuah forum pasca belanjawan hari ini.

Johan berkata demikian ketika menjawab soalan mengapa kerajaan dilihat sedaya upaya membantu pemaju untuk menjual lambakan hartanah dengan menurunkan had harga rumah yang boleh dibeli warga asing.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 mengumumkan penurunan had harga flat dan kondominium yang boleh dibeli warga asing kepada RM600,000 berbanding RM1 juta sebelum ini.

“Ini adalah untuk mengurangkan renjatan hartanah tidak terjual. Sasaran kita ditujukan kepada rumah siap tidak terjual pada 2020.

“Selepas itu, kita akan semak semula progresnya,” kata Johan.

Forum pasca belanjawan itu diadakan di Bank Negara Malaysia hari ini. Ia dihadiri Dr Veerinderjeet Singh ( Axcelasia Taxand Sdn Bhd), Shakira Teh Sharifuddin (Bank Dunia), Prof Dr Edmund Terence Gomez (Universiti Malaya), Prof Dr Mansor H Ibrahim (timbalan presiden Inceif) dan Ravindran Navaratnam (Sage 3 Capital Sdn Bhd). – 14 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen