USAHA dan rayuan seorang guru tadika, M Indira Gandhi untuk mendapatkan bantuan bagi mencari anaknya yang hilang mendapat sambutan positif daripada masyarakat, kata Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat).
Kecewa dengan kekurangan maklumat daripada polis, ibu dan kumpulan sokongannya, Ingat, kini memulakan jelajah bagi berkongsi dengan orang ramai tentang perjuangannya mencari anak yang hilang selama sedekad yang dipercayai kini bersama bekas suaminya yang turut tidak ditemui.
Jelajah pertama dilancarkan pada 29 September di kampung halamannya, Ipoh, Perak di dewan kuil Kallumalai.
Di sana, pasukan Ingat berucap kepada lebih daripada 100 orang mengenai isu berkaitan Prasana Diksa yang hilang dan nasib Indira sejak 10 tahun lalu.
Pengarah Ingat, Arun Dorasamy memberitahu The Malaysian Insight komuniti itu sangat menyokong usaha mereka bagi mencari anak perempuan Indira.
“Kami ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa respon daripada polis kurang, dan itulah sebab kami harus turun ke komuniti bagi mendapatkan sokongan mereka dalam usaha mencari anaknya yang hilang.”
Indira merayu bantuan orang ramai dalam pencarian Muhammad Riduan Abdullah, yang dipercayai bersama dengan anak perempuan mereka, Prasana, yang kini berumur 11 tahun.
Riduan melarikan Prasana ketika masih bayi selepas beliau secara sepihak mengislamkan tiga anak mereka. Beliau kini tidak mempedulikian perintah mahkamah untuk memulangkan anak perempuan mereka kepada ibunya.
Walaupun mahkamah telah memberikan hak penjagaan kepada Indira terhadap tiga anaknya di samping turut memutuskan penukaran agama mereka sebagai tidak sah, Indira masih tidak disatukan kembali dengan anak bongsunya yang tidak diketahui keberadaannya.
Arun berkata semasa taklimat mereka dengan komuniti, mereka bercakap mengenai proses undang-undang yang dijalani Indira secara menyeluruh, butiran penukaran agama secara unilateral, dan mengapa Prasana masih hilang.
“Isu ini tidak lagi mengenai penukaran agama secara sepihak, tetapi mengenai orang yang hilang.
“Matlamatnya adalah untuk memastikan orang ramai dimaklumkan mengenai kes itu. Kita tidak boleh membiarkan isu ini dilupakan.”
Pada 17 April lalu, satu pasukan tindakan khas polis ditubuhkan untuk mencari Riduan dan Prasana, namun selepas empat bulan, Prasana dan bapanya kekal tidak ditemui.
Arun juga mendakwa Indira masih belum menerima sebarang berita terkini daripada pasukan tindakan khas polis itu.
Selepas Ipoh, jelajah Indira dan Ingat menuju ke Kuantan pada 6 Oktober. Ia diadakan di Wisma KIA yang dianjurkan oleh Persatuan India Kuantan. – 14 Oktober, 2019.

Komen