POLIS akan mengenakan sekatan masuk ke Malaysia terhadap ahli politik Indian Senthamilan Seeman selepas mendapat bukti kukuh, kata Bahagian Antikeganasan (E8) Bukit Aman.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Seeman memasuki Malaysia beberapa kali untuk bertemu dengan pemimpin politik tertentu dalam negara.
Seeman, yang merupakan ketua koordinator parti Naam Tamilar Katchi (NTK) di Tamil Nadu, adalah pendukung Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan dikatakan sedang berusaha menghidupkan semula organisasi tersebut.
Bagaimanapun, Ayob Khan berkata polis memerlukan bukti kukuh terlebih dahulu sebelum menyekat Seeman, dan mereka berharap dapat memperoleh maklumat daripada 12 rakyat Malaysia yang ditahan selepas didakwa terlibat dengan LTTE.
“Ia bergantung kepada siasatan terhadap 12 orang yang ditahan dan kita perlu melihat sejauh mana peranannya (Seeman) untuk mempromosikan atau menyalurkan wang kepada unsur-unsur LTTE di Malaysia bagi menjalankan aktiviti mereka.
“Sekiranya ada bukti, kami akan meminta Imigresen untuk menyekatnya daripada masuk,” kata Ayob pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
The Malaysian Insight melaporkan awal hari ini bahawa parti Seeman, Naam Tamilar adalah penghubung sekumpulan rakyat Malaysia, termasuk beberapa tokoh terkenal, dengan gerakan itu yang kini berusaha untuk menghidupkan semula LTTE.
Sekurang-kurangnya seorang daripada tujuh lelaki yang ditangkap pada hari Khamis mempunyai hubungan rapat dengan Seeman dan NTK adalah .
Antara tujuh lagi yang ditahan termasuk dua wakil rakyat DAP, Adun Gadek G Saminathan, yang juga seorang exco Melaka, dan Adun Seremban Jaya P. Gunasekaran.
Lima orang lagi dilaporkan ditangkap semalam, membawa jumlah itu meningkat kepada 12 orang.
Polis tidak menolak kemungkinan penahanan lanjut terhadap mereka. Beberapa orang kenamaan Malaysia juga dilaporkan turut dipantau polis. – 13 Oktober, 2019.
Komen