KELONGGARAN kepada warga asing untuk membeli pangsapuri dan kondominium berharga RM600,00 tidak terpakai kepada projek perumahan baharu yang belum dilancarkan, kata Menteri Kewangan.
Lim Guan Eng menjelaskan kelonggaran itu hanya untuk tempoh setahun dan terhad bagi unit yang masih tidak terjual sehingga 31 Disember tahun depan.
“Ia tidak merangkumi projek baru yang belum dilancarkan. Langkah ini dijangka memanfaatkan sektor hartanah tanpa menjejaskan kepentingan warganegara Malaysia,” katanya, dalam satu kenyataan media hari ini.
Jelas Lim, langkah ini adalah cadangan kerajaan untuk membantu mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual, yang dianggarkan berjumlah RM8.3 bilion pada suku tahun 2019.
Lim hari ini membuat penjelasan ke atas ucapannya di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu yang katanya, telah disalah tafsir “dengan sengaja oleh pihak tertentu”.
Semasa membentangkan Belanjawan 2020 pada Jumaat, Lim mengumumkan nilai ambang bagi kondomunium dan pangsapuri di kawasan bandar dikurangkan daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing.
Cadangan kerajaan itu mendapat bantahan banyak pihak yang bimbang ia akan mendorong pemaju cenderung membina rumah berharga tinggi dan mengabaikan rumah mampu milik untuk rakyat.
Sementara itu, di Langkawi, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengulangi bahawa kelonggaran kepada warga asing itu hanya untuk membeli rumah tidak terjual dan bukannya datang bersama kerakyatan.
“Kita ada (masalah rumah) tidak terjual. Kita telah bangunkan rumah pangsapuri dan kondominium dengan banyaknya.
“Sekarang ini projek perumahan tidak terjual dan merugikan negara,” katanya dalam sidang media selepas melawat Langkawi, hari ini.

“Kita mahu selesaikan isu perumahan tidak terjual. Apabila sudah diselesaikan, (mungkin boleh) kita nak naikkan kepada RM 800 ribu, RM 1 atau RM 2 juta.
“Ini cara kita nak lariskan penjualan. Kalau orang asing beli bukan kita bagi kerakyatan. Dia (warga asing) boleh guna sebagai rumah percutian,” tambahnya.
Sejak petang Jumaat, pengumuman Lim semasa Belanjawan 2020 dikritik oleh banyak pihak termasuk persatuan pengguna.
Pengarah penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Dr Suraya Ismail malah menyifatkan cadangan itu membahayakan ekosistem hartanah negara kerana terdedah kepada manipulasi pasaran.
Isu pemilikan rumah oleh warga asing hangat diperkatakan sejak sebulan lalu setelah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mendedahkan kerajaan bercadang menarik pembeli hartanah dari China dan Hong Kong untuk memberi unit kediaman berharga lebih RM1 juta yang tidak terjual.
Selepas kenyatannya dikecam, Zuraida kemudian menjelaskan cadangan itu dalam perhatian kerajaan dan adalah sebahagian daripada program Malaysia Rumah Keduaku. – 13 Oktober, 2019.
Komen