Suspek LTTE ditahan kerana keselamatan, bukan sebab lain, kata Dr Mahathir


Zaim Ibrahim

Adun DAP ditahan polis tanpa campur tangan sesiapa, untuk siasatan berhubung penglibatan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam, kata perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2019.

SEMUA 12 individu termasuk dua wakil rakyat DAP ditahan polis semata-mata atas faktor keselamatan dan bukannya bertujuan politik untuk melemahkan mana-mana pihak, kata Dr Mahathir Mohamad.

Mereka ditahan oleh polis tanpa campur tangan sesiapa, untuk siasatan berhubung penglibatan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam, kata perdana menteri.

“Pihak kerajaan ingin tahu apa sebab perkara ini berlaku. Kita tak suka guna kuasa untuk lemahkan mana-mana pihak.

“Ini bukan saya tangkap orang, bukan Muhyiddin tangkap orang,” katanya, merujuk kepada Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

“Polis tangkap orang dan benda yang dibuat pegawai mereka itu ikut undang-undang,” kata perdana menteri dalam sidang media di Langkawi, hari ini.

Ditanya tentang rungutan pemimpin DAP kononnya tangkapan itu boleh menjejaskan Pakatan Harapan, terutamanya menjelang pilihan raya kecil Tanjung Piai bulan depan, Dr Mahathir berkata parti akan mengkaji dakwaan itu.

“Kalau ada kesan politik itu, kita terpaksa kaji, apa latar belakang dia (kesan politik),” tambahnya. – 13 Oktober, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen