POLIS tidak akan menahan Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berdasarkan sebuah gambar, kata ketua bahagian antikeganasan, Bukit Aman.
Gambar menteri bersama penyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang tular sejak semalam di media sosial, tidak mencukupi untuk waran tangkapan terhadapnya dikeluarkan, kata pengarah utama Bahagian Khas Antikeganasan (E8), Ayob Khan Mydin Pitchay. .
“Kita tidak boleh menahan YB Kula hanya kerana sebuah gambar,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Ayob Khan mengulas perkara tersebut ketika ditanya mengenai gambar Kula Segaran bersama Seeman Senthamilan, ketua koordinator Naam Tamilar, sebuah parti yang menyokong LTTE berpangkalan di selatan India.
Ayob Khan berkata polis sedang memantau Seeman, yang mengadakan beberapa lawatan ke Malaysia sejak 2012. Lawatan beliau dikatakan untuk mengadakan beberapa pertemuan dengan beberapa individu kenamaan di Malaysian yang bersimpati dengan perjuangan LTTE.
Ayob Khan berkata pihak polis maklum mengenai lawatan Seeman ke Malaysia dan mungkin mempertimbangkan untuk melarangnya masuk.
Kula Segaran semalam menafikan bahawa beliau mempunyai kaitan dengan organisasi pengganas, dan turut menyifatkan paparan di media sosial mengenai gambarnya itu sebagai “pembohongan dan berita palsu”.
“Terdapat pembohongan yang disebarkan di media sosial mengatakan saya ada kaitan dengan organisasi pengganas. Saya menafikan dakwaan ini sekeras-kerasnya,” kata beliau dalam satu kenyataan dan mendesak pihak polis untuk menyiasat mereka yang menyebarkan tuduhan tersebut.
Naib Pengerusi DAP itu berkata beliau juga ditugaskan oleh parti untuk menjadi penghubung antara keluarga dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP yang ditangkap bagi membantu siasatan polis mengenai kebangkitan LTTE.
Adun yang ditahan adalah G Saminathan, yang juga merupakan seorang exco di Melaka, dan Adun Seremban Jaya, P. Gunasekaran.
Kula Segaran berkata beliau telah melawat keluarga Saminathan dan Gunasekaran dan berkata mereka sangat terkejut mengenai tangkapan tersebut.
DAP juga turut menugaskan peguam Ram Karpal Singh dan RSN Rayer untuk mewakili dua Adun DAP berkenaan. – 13 Oktober, 2019.
Komen