Sokong kemanusiaan dan simpati LTTE dua perkara berbeza, kata polis


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas Bukit Aman), Ayob Khan Mydin Pitchay berkata tidak wajar mengaitkan simpati terhadap kaum Tamil di Sri Lanka dengan keganasan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Oktober, 2019.

MENZAHIRKAN simpati kepada kaum Tamil tidak sama dengan menyatakan sokongan terhadap Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ketua penolong pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas Bukit Aman itu memberitahu wartawan beliau juga bersimpati dengan etnik Tamil di Sri Lanka tetapi tidak wajar mengaitkan simpati itu dengan keganasan.

“Terdapat dua perkara yang berbeza di sini, menunjukkan sokongan untuk rakyat Tamil terhadap penderitaan mereka adalah berbeza dengan menyokong kumpulan pengganas seperti LTTE.

“Saya berasa kasihan kepada orang Tamil di sana tetapi adakah saya boleh menyokong kumpulan pengganas? Sama dengan Palestin, kita simpati dengan mereka, tetapi kita tidak pernah menyertai Hamas atau Islamic Jihad,” katanya.

Ayob bercakap mengenai penangkapan lima individu yang didakwa mempunyai hubungan dengan LTTE.

Lima ditahan semalam kerana disyaki mempromosikan, menyokong dan menyalurkan dana kepada kumpulan pengganas itu.

Ini menjadikan 12 individu ditangkap berkaitan siasatan LTTE beberapa hari kebelakangan ini.

Ayob mendedahkan bahawa seorang daripada lima yang ditahan adalah guru sekolah menengah di Banting.

“Tangkapan pertama dibuat di Banting, Selangor. Seorang guru sekolah berumur 52 tahun ditahan kerana mempromosikan LTTE dalam media sosial.”

“Tangkapan kedua dan ketiga dibuat di Durian Tunggal, Melaka. Kedua-dua lelaki itu adalah penganjur acara memperingati pejuang LTTE yang meninggal dunia dalam perang saudara pada November tahun lepas.”

Pihak polis membuat tangkapan terhadap lima individu yang didakwa ada kaitan dengan LTTE. – Gambar PDRM, 13 Oktober, 2019.

“Tangkapan keempat dan kelima dibuat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Kami menangkap dua lelaki berusia 26 dan 29 tahun kerana mempromosikan kumpulan itu di media sosial,” kata Ayob.

Ayob juga berkata, setakat ini pihak polis merampas bendera, poster, imej pemimpin LTTE dan buku berkaitan kumpulan keganasan itu.

Sebelum ini, lima tangkapan dibuat pada Sabtu dan tujuh pada Khamis lalu. Ini termasuk dua Adun DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan, kerana didakwa mempromosikan serta cuba menghidupkan semula LTTE.

Tangkapan pertama berlaku di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah dan Kuala Lumpur.

Ketujuh-tujuh mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Khas (Langkah-Langkah Keselamatan), yang membenarkan penahanan sehingga 28 hari.

Polis berkata mereka tidak menolak kemungkinan membuat penangkapan lebih banyak bagi membantu siasatan berhubung LTTE. – 13 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen