SANGAT mudah untuk kembali mendekati tiga nama samseng hebat kerana pada tahun 1994 hingga 1997, saya akrab dengan mereka. Saya pengurus tidak rasmi bagi kelab bola sepak kecil di Cheras dan mereka bertiga antara pemainnya.
Sekitar tahun itu, kelab kecil ini sentiasa tiada wang. Dua minggu sebelum liga 1994, kelab masih menggelabah mencari penaja. Akhirnya, jersi lengkap dihadiahkan seorang ahli politik.
Cuma tiada perjanjian menjual undi. Kelab ini di Cheras dan tiada sentimen partisan, manakala ahli politik pula wakil rakyat di pedalaman Perak.
Tiada kerjaya lebih sukar daripada menjadi pengurus tidak rasmi kelab miskin ini. Walaupun kerja saya bukan melatih atau menentukan barisan pemain. Soal taktikal adalah tugas mutlak jurulatih.
Tanggungjawab pengurus tidak rasmi ialah menyediakan elaun RM10 sebagai duit minyak motosikal bagi memastikan semua pemain sampai ke padang pada hari perlawanan.
Selebihnya, menyediakan wang belanja makan beramai-ramai selepas perlawanan. Tidak kira menang atau kalah, 20 pemain perlu menikmati tomyam.
Itu belum masuk kos yuran tahunan membaharui lesen kelab dan duit pendaftaran kalau pasukan ini mahu menyertai kejohanan tujuh sebelah. Dekad 90-an penuh dengan kejohanan pada hujung minggu.
Wang boleh dicari walaupun tidaklah mudah. Sebagai wartawan, hubungan baik dengan ahli politik memudahkan urusan: “YB tajalah sikit. Ini pasukan budak-budak flat Cheras. Anak orang susah. Mana ada penaja pun.”
Ahli politik yang baik hati akan memberikan bantuan. Malah Almarhum Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, juga pernah menghulurkan bantuan.
“Saya beri RM10 ribu tapi jangan habis ke bola sepak saja. Bantu juga warga tua,” titah almarhum.
Pada 1995, kelab ini menganjurkan liga lima sebelah (kerana padang di pinggir flat sangat kecil dan tidak sesuai untuk tujuh sebelah) tetapi edisinya sangat mewah.
Seorang taikun muda Melayu pada waktu itu sudi menaja wang tunai RM5,000 serta piala dan medal. Ketika hadiahnya sampai sehari sebelum kejohanan, keadaan jadi riuh-rendah.
Penganjur terkejut kerana standard trofinya menyamai kualiti kejohanan liga utama Kuala Lumpur.
“Siapa tak mau jadi juara. Piala dan medal tempahan khas Selangor Pewter. Hadiah pula wang tunai yang lumayan,” kata pemain.
Juara akan menerima RM1,500, naib juara RM1,000. Penjaring terbanyak, pemain dan penjaga gol terbaik akan menerima RM250.
Samseng dan bola sepak
Pasukan yang diurus ramai pemainnya remaja ganas. Kerja paling penting semasa perlawanan ialah memastikan mereka tidak bergaduh. Lagi penting ialah segera masuk ke padang lepas wisel penamat. Potensi bertumbuk lebih tinggi selepas permainan tamat.
Mereka remaja ganas. Saya pernah melihat pasukan lawan dipukul dengan batang kayu ketika perlawanan berlangsung. Pemain lawan cedera – terkoyak kulit kepala dan dijahit sembilan jarum.
Sebagai pengurus, saya kena bawa pemain lawan ke hospital. Memastikan dirawat dan bertanggungjawab membayar bil hospital.
“Harap kita selesai di luar. Saya tanggung duit ubat dan bayar sikit pampasan,” kata saya.
Ini bukan rundingan mudah. Namun, pengurus perlu melakukannya kerana tidak mahu pemain diseret ke lokap dan menjadi kes polis.
Pasukan ini memang ganas. Saya masih ingat, ada pasukan lawan mahu menarik diri dan memberikan kemenangan percuma. Kejadian ini ketika siri kejohanan tujuh sebelah di padang Flat Sri Melaka, Cheras sekitar tahun 1996.
Pemain lawan ketakutan. Mereka siswa bakal pendidik yang mewakili maktab perguruan di kawasan Cheras.
“Kita teruskan. Saya akan pastikan pasukan saya tidak bergaduh,” pujuk saya pada kapten pasukan lawan.
Janji saya hancur. Belum pun tamat tujuh minit separuh masa pertama, Kapak (nama gelaran seorang pemain) telah menumbuk muka penjaga gol lawan. Pemain lain ikut bertumbuk dalam padang, dan penyokong menyerbu masuk dan ikut bergaduh.
Tentulah yang menyerang ialah penyokong pasukan saya kerana padang perlawanan berdekatan tempat tinggal kami. Itu kes pertama saya kena masuk balai dan beri keterangan pada polis.
Lama juga kena soal siasat dan akhirnya kes selesai dengan perbincangan hati ke hati dengan pasukan lawan. Rundingan dibuat di restoran kedai kari kepala ikan berdekatan Ibu Pejabat Daerah Polis Cheras.
Masa pun berlalu. Saya berpindah dari Cheras ke Shah Alam pada 1998.
Tiga samseng berbahaya
Tiga pemain utama meninggalkan bolasepak dan bergabung jadi samseng yang hebat di sekitar Cheras pada 2005. Mereka bukan samseng jalanan, tetapi memiliki organisasi tersusun.
Kumpulan ini menguasai bisnes kawalan keselamatan di semua perumahan elit sekitar kawasan mereka. Malah, mengedar dadah dan melakukan rompakan bersenjata.
Pusat hiburan di sekitar kawasan kawalan mereka – walaupun dimiliki samseng lain – masih perlu membayar wang perlindungan. Tiga nama hebat ini juga merekrut keahlian.
Sebahagian besar ahlinya saya kenal sebab mereka remaja yang pernah membesar di kawasan sama. Malah, saya akrab dengan ibu bapa mereka.
“Hebat kau sekarang. Rantai emas macam besi ikat anjing,” kata saya, ketika terserempak dengan Mokt sekitar 2005.
Semua terus kekal menggunakan nama timangan. Kapak, Mokt dan Sepet adalah bekas pemain remaja yang 10 tahun lalu bersama kelab kecil yang saya menjadi pengurus tidak rasmi.
“Ehh, abang…,” kata Mokt.
Dia berlari memeluk saya di depan pintu kedai serbaneka stesen minyak. Rantai dan gelang emas yang bagak saiznya menjadikan penampilan Mokt seperti rapper kulit hitam Los Angeles. Pekerja stesen minyak memandang saya.
Mereka tahu ganasnya Mokt. Pastinya, wujud tanggapan – saya lebih ganas. Persepsinya mudah: sebab Mokt memanggil saya abang dan memeluk serta bersalam sambil mencium tangan saya.
Secara hierarki dalam dunia samseng, saya nampak seperti seseorang yang lebih tinggi tahap samsengnya.
“Apa kau buat sekarang, Mokt? Aku dengar nama kau hebat sungguh di Cheras.”
Dia tersengih.
“Ala… bisnes sikit-sikit,” jawabnya.
Dia mempelawa untuk membayar minyak kereta saya. Saya menolak dengan baik sambil menunjukkan kad kredit yang sudah digunakan.
Pada dekad pertama alaf baru, Mokt, Kapak dan Sepet memang tiga nama hebat di Cheras. Walaupun saya tinggal di Shah Alam, kisah ganas mereka sentiasa saya ikuti.
Awal sebelum nama mereka masuk ke carta atas, tiga anak muda ini menakah ranking samseng dengan satu kes rompakan yang hebat.
Setelah ditahan polis, ayah Sepet datang mencari saya dan meminta bantuan.
“Nak bantu macam mana bang, ini kes rompak bersenjata. Walaupun polis tak jumpa pistol, mangsa kata ada dua tembakan,” kata saya.
Seingat saya, selepas itu ketiga-tiga mereka masuk penjara. Cuma, kes jadi sedikit ringan kerana tiada senjata api ditemui.
Setelah lama terputus khabar berita, satu hari saya teringat kawasan lama.
Tahun 2015, saya singgah minum kopi di warung kecil sekitar Cheras. Sengaja mencari kawan-kawan lama yang sebaya untuk menikmati secawan teh.
“Sepet, Kapak dan Mokt buat apa sekarang?” Tanya saya.
Kawan saya menjawab: “Dah slow dan jarang nampak. Tapi masih aktif dalam senyap. Cuma, sekarang zaman polis. Zaman samseng sudah berlalu.”
Saya faham jawapan itu.
Kes rompakan bersenjata bukan kes kecil. Bawa parang dan samun pejabat gengster lain (versi siasatan menyebut ada senjata api dan dua tembakan dilepaskan) hanya berani dilakukan samseng yang ada kelas dan berhati kering.
Bukan setakat menyamun, menetak lawan hingga cedera parah hanya berani dilakukan tiga samseng yang berasa dunia berada dalam kawalan mereka.
Jumpa samseng solat Jumaat
Suatu hari Jumaat bulan September lalu, saya bersolat di masjid kawasan Cheras. Ketika keluar masjid, saya nampak kelibat Mokt. Macam mimpi apabila melihat seorang samseng yang juga lelaki dewasa lewat usia tiga puluhan tiba-tiba berkurta dan memakai ketayap.
“Hei Mokt!,” tegur saya sambil berjalan ke arahnya.
Dia tersenyum dan kami hanya bersalam. Tiada lagi rantai tali anjing dan gelang emas bagak di leher dan lengannya. Dia juga tidak lagi tunduk mencium tangan saya.
“Kau buat apa sekarang?” Tanya saya.
“Baru tiga bulan keluar jel, bang,” katanya.
Saya hanya menganggukkan kepala.
“Sekarang meniaga kecil-kecil tapi ‘clean’,” jawabnya.
“OKlah kalau ‘clean’. Ingat, sekarang zaman polis dan bukan lagi zaman samseng. Kau pun tahu,” kata saya.
Mokt hanya tersengih. Kami berbual dan saya terus bertanya: “Mana Sepet dan Kapak?”
“Tak tahu bang,” kata Mokt: “Kami berpecah dah lama sebelum saya masuk jel. Cuma, dengarnya masih aktif tapi bukan kawasan sini.”
Kami bersalaman dan berpisah. Sebenarnya saya tahu apa Sepet dan Kapak lakukan. Mokt pun tahu. Cuma, dalam budaya pergaulan samseng, orang tidak ‘buka mulut’ tepi jalan. Apa lagi depan masjid.
Malah, saya juga tahu apa Mokt lakukan. Dia bukan “clean”. Cuma, dia kena “low profile” sebab baru keluar jel.
Dunia gelap samseng jarang mendapat cahaya. Kalau dapat cahaya, ertinya mendapat lebih banyak wang hasil kerja jenayah. Tiada istilah cahaya bermaksud kemurnian hidup.
Sekali anda memilih untuk hidup dengan kekuatan dan keberanian yang dicagar dengan kerja jenayah, sukar ketemu jalan pulang.
Kalau pun ke masjid, itu tindakan penyamaran. Samseng perlukan sedikit cahaya dari masjid. Cahaya itu akan melindungi kegelapan tempat mengatur permainan jahat.
Ini politik gaya lama dalam survival dunia samseng. Mereka juga belajar daripada ahli politik. Permainan karektor penting untuk menyembunyikan wajah sebenar. Samseng perlukan cahaya, walaupun memilih kegelapan!
Sama seperti ahli politik juga… – 13 Oktober, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen