Mereka yang ada kaitan LTTE perlu didakwa, bukan ditahan, kata presiden MIC


Alfian Z.M. Tahir

Presiden MCA, SA Vigneswaran menggesa pihak berkuasa mendakwa mereka yang disyaki terlibat dengan pengganas LTTE dan bukan menahan mereka di bawah Sosma.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2019.

PRESIDEN MIC SA Vigneswaran mempersoalkan tindakan polis menahan beberapa individu kerana didakwa mempunayi kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Vigneswaran dalam satu kenyataan hari ini menggesa pihak polis mendakwa mereka di mahkamah sekiranya mempunyai bukti kukuh terhadap suspek daripada menahan mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Saya menyuarakan kebimbangan mengenai penangkapan dua Adun DAP - Adun Gadek, G. Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P. Gunasekaran dan sebilangan individu yang didakwa mempunyai hubungan dengan LTTE.”

“Sekiranya wujud bukti prima face penglibatan mereka dalam apa-apa aktiviti keganasan yang mengancam keselamatan negara, saya menggesa mereka yang direman didakwa di mahkamah,” kata Vigneswaran yang juga presiden Dewan Negara.

Tambah pemimpin MIC itu, perang saudara di Sri Lanka sebelum ini yang menyebabkan ratusan ribu etnik Tamil terbunuh mencetuskan seluruh diaspora Tamil simpati dengan objektif LTTE.

“Oleh itu, simpati itu membawa kepada sokongan kepada LTTE. Perlu diingatkan bahawa diaspora di seluruh dunia yang bersimpati dengan LTTE bukanlah pengganas dan tidak menyokong dan mencetus aktiviti keganasan.”

“Mereka semata-mata menunjukkan sokongan bagi tujuan untuk menamatkan penderitaan rakan-rakan Tamil mereka.”

“Bolehkah seseorang ditahan kerana menunjukkan simpati,” katanya.

Setakat ini pihak polis telah menahan tujuh individu yang dikaitkan dengan LTTE dan polis semalam mengatakan mereka tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dibuat untuk memudahkan siasatan berhubung kumpulan pengganas itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya mempunyai 28 hari untuk menyiasat tujuh individu berkenaan, termasuk dua Adun DAP yang ditahan Khamis lalu.

“Polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu ditangkap untuk membantu siasatan, jika ada bukti yang cukup,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat polis.

Ayob Khan berkata, LTTE telah disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014, dan ia turut disenaraikan sebagai pengganas di Amerika Syarikat, India dan Sri Lanka yang menjadi pangkalan mereka.

Dua hari lalu, tujuh individu termasuk dua Adun DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan ditahan kerana disyaki mempromosikan, menyokong, menyalurkan dana dan memiliki bahan berkaitan kumpulan LTTE.

Selain Melaka dan Negeri Sembilan, beberapa lagi individu ditahan di Selangor, Perak, Kedah dan Kuala Lumpur. – 12 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen