Kerajaan tak cukup data sektor ekonomi gig, kata Mustapa


Diyana Ibrahim

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet Mustapa Mohamed ketika bercakap pada forum Bajet 2020 Town Hall Breaking the Youth Income Ceiling, di Subang Jaya, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Oktober, 2019.

KERAJAAN masih lagi kekurangan data bagi pekerja yang menceburi sektor ekonomi gig negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet Mustapa Mohamed.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata data tersebut perlu ditambah baik yang boleh membantu kerajaan membina polisi yang lebih baik untuk golongan tersebut.

Dengan data yang tepat kerajaan akan dapat melihat bagaimana ekonomi baharu itu boleh menyelesaikan masalah pengganguran dalam negara.

Ini memandangkan, kerajaan menyediakan peruntukan besar dalam Belanjawan 2020 untuk meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Apa kerajaan buat sekarang dalam bajet ada polisi baru untuk membuka peluang pekerjaan. Ia memakan peruntukan yang sangat besar.

“Jadi pelaburan itu kena tepat, Sebab itu saya katakan kerajaan kena tambah baik, semak balik data supaya kita ada gambaran tepat yang selari dengan ekonomi baru ini.

“Sebab kalau kita kurang data dalam hal ini kita mungkin akan salah dalam mencari jalan penyelesaian bagi isu pengganguran ini,” katanya.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berucap dalam satu forum Bajet 2020 Town Hall Breaking the Youth Income Ceiling, di Subang Jaya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 semalam kerajaan antara lain mengumumkan suntikan dana khas berjumlah RM6.5 bilion untuk mencipta 350,000 peluang pekerjaan tahun depan.

Mengulas lanjut, ahli Parlimen Jeli itu berkata kerajaan masih gagal memahami cabaran ekonomi gig itu di peringkat akar umbi walau semakin ramai rakyat menceburi bidang tersebut.

“Kerajaan kena faham dengan secara mendalam dari akar umbi untuk isu ini. Sekarang ini memang kerajaan masih belum memahami,” katanya.

Industri berkenaan pada masa ini masih tidak dikawal secara menyeluruh oleh kerajaan sehingga menyaksikan timbul masalah perundangan dan monopoli perniagaan.

Kebajikan pekerja juga masih tidak terjamin, seperti kes penghantar makanan syarikat Foodpanda yang melancarkan mogok ekoran bantahan ke atas skim pembayaran syarikat itu. – 12 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen