Dana dikembalikan jika MCA lepaskan Kolej Universiti TAR, kata Lim 


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pendidikan juga sama seperti media yang perlu bebas daripada agenda politik. – Gambar The Malaysian Insight leh Seth Akmal, 12 Oktober, 2019.

PUTRAJAYA akan salur peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) hanya jika MCA sedia melepaskan kepentingannya dalam institusi itu, kata Lim Guan Eng. 

Menteri kewangan berkata, sama seperti mana media perlu bebas daripada agenda politik, pendidikan juga perlu bebas dari politik. 

“Saya rasa Dr Mahathir sudah jelaskan, Tidak perlu ada kawalan bagi mana-mana media, sama seperti pendidikan. Sekiranya MCA sedia melepaskan pengaruh politik mereka, kita akan kembalikan dana,” kata Lim selepas sidang media pasca belanjawan di Parlimen hari ini. 

Beliau yang juga ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan tidak menghalang MCA menguruskan institusi berkenaan namun kolej universiti tidak boleh beroperasi menggunakan dana awam.

“Kenapa kita perlu salurkan dana kepada institusi yang dikawal secara politik? Kita akan kembalikan jika mereka lepaskan kawalan UTAR. Mengapa susah untuk mereka lepaskan?” tambahnya.

Semalam Presiden MCA Wee Ka Siong meluahkan kesedihannya kerana tiada peruntukan daripada kerajaan selepas pembentangan Belanjawan 2020. 

“Tidak disebut langsung. Sekarang TAR UC tak dapat satu sen pun, sama seperti yang berlaku tahun lalu di bawah Lim Guan Eng.”

“Ini masalah yang kami hadapi dan saya sedih dengan masalah ini,” katanya di logi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan oleh Lim.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, MCA telah perjuangkan selama 50 tahun untuk mendapatkan geran sesuai bagi TAR UC dan menerima purata RM30 juta hingga RM60 juta setiap tahun di bawah kerajaan terdahulu. – 12 Oktober, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen