KETUA Polis Negara Abdul Hamid Bador menggesa Suara Rakyat Malaysia (Suaram) membuat laporan polis berhubung dakwaan penahanan salah dan penderaan dua individu di Kangar, Perlis.
“Saya tidak dimaklumkan berkenaan isu itu tetapi saya gesa mereka buat laporan polis,” kata di Bukit Aman pagi ini.
Bagaimanapun, Hamid berkata beliau yakin anggotanya dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sudah menjalankan siasatan dalaman berkenaan insiden itu.
“Dalam kes seperti ini, biasanya JIPS akan membuka siasatan walaupun sebelum laporan polis dibuat. Itu prosedur operasi standard. Saya pasti isu ini sudah disiasat,” katanya.
Semalam Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata pasangan bapa dan anak lelaki berkenaan – Pukalanthee Rajoo dan Linggeswaran Pukalanthee – didera ketika ditahan, dan menuduh polis gagal menjalankan siasatan awal sebelum melakukan tangkapan.
Menurut laporan itu, kedua-duanya ditahan pada 21 September dan kemudian dibebaskan pada 25 September.
Dilaporkan mereka diambil bekerja untuk menurap jalan di satu kawasan perumahan dan menyewa kereta bagi tujuan itu.
Aduan kemudian dibuat oleh seorang wanita yang memberitahu polis dua lelaki terbabit kelihatan mencurigakan di kawasan perumahan itu.
Penasihat guaman Suaram Shashi Devan berkata kedua-dua bapa dan anak itu hilang semua kontrak kerja mereka akibat ditahan.
Devan berkata mereka sedang mempertimbangkan untuk memfailkan saman sebagai tindakan susulan. – 12 Oktober, 2019.
Komen