Suspek LTTE akan dibenar jumpa peguam dan keluarga, kata KPN


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memberi jaminan hak asasi tujuh orang yang ditahan berkaitan LTTE akan dipenuhi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2019.

HAK asasi tujuh orang yang ditahan kerana disyaki mempromosi, menyokong dan menderma kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dijamin, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Pegawai polis tertinggi negara itu berkata beliau sudah memberitahu anggotanya yang menyiasat kes itu supaya memastikan suspek diberikan akses berjumpa peguam dan lawatan ahli keluarga.

“Ini tidak ada kena mengena dengan agama atau kaum. Ia siasatan sebenar tentang kumpulan pengganas. Saya sudah beritahu jabatan bertanggungjawab untuk memastikan hak asasi tahanan dipenuhi.

“Mereka akan ada akses kepada peguam dan ahli keluarga dibenarkan melawat. Saya tak mahu dengar aduan yang hak mereka dinafikan,” katanya pagi tadi selepas pelancaran acara sukan di Bukit Aman.

“Ini adalah isu keselamatan negara. Saya minta parti politik dan ahli politik bertenang. Tanggungjawab kami untuk menghalang kejadian tidak diingini daripada berlaku. Tugas kami untuk menjaga negara.

“Kami tak mahu ada kejadian seperti di Indonesia bila baru-baru ini menteri ditikam. Kami akan bertindak tanpa mengira siapa dalangnya,” tegas Hamid.

Semalam, polis tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lagi akan dibuat untuk membantu siasatan kumpulan pengganas yang sudah bubar itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas Bukit Aman Ayub Khan Mydin Pitchay berkata polis mempunyai 28 hari untuk menyiasat tujuh orang tersebut, termasuk dua Adun DAP yang ditahan pada Khamis.

“Polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan ditahan untuk membantu siasatan, jika cukup bukti,” katanya pada sidang media di Bukit Aman semalam.

Ayob Khan berkata Malaysia menyenaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas sejak 2014, ia juga berada dalam senarai pengganas AS, India dan Sri Lanka.

Dua hari lepas, tujuh orang termasuk dua Adun dari Melaka dan Negeri Sembilan ditahan kerana disyaki mempromosi, menyokong, menderma dan mempunyai bahan berkaitan LTTE.

Mereka ditahan di Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur. – 12 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen