Tahan suspek kes LTTE bukan sebab kaum atau agama, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas Bukit Aman Ayub Khan Mydin Pitchay berkata tindakan itu diambil pada semua kumpulan tanpa mengira kaum dan agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2019.

FAKTOR kaum dan agama bukan alasan untuk menahan tujuh individu termasuk dua wakil rakyat DAP yang dikaitkan dengan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata polis.

Tindakan itu diambil pada semua kumpulan tanpa mengira kaum dan agama, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas Bukit Aman Ayub Khan Mydin Pitchay.

“Tiada isu pilih kasih atau perkauman timbul kerana sebarang usaha dilihat boleh menggugat keselamatan negara, kami akan mengambil tindakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ayub Khan mengulas kenyataan di media sosial yang mengaitkan operasi berkenaan dengan persepsi perkauman kerana tangkapan hanya melibatkan individu keturunan India.

Ayub Khan bagaimanapun menegaskan, perkara itu tidak timbul kerana operasi yang dijalankan untuk membanteras kumpulan pengganas lain sebelum ini juga dibuat tanpa mengenal kaum.

Beliau mengambil contoh, tindakan ke atas tujuh orang individu dikaitkan dengan Babbar Khalsa International dan 483 orang dikaitkan dengan Daesh.

“Kenapa tiada pihak persoal apabila kita mengambil tindakan terhadap Daesh atau Babbar Khalsa International namun apabila kita tangkap LTTE dari satu kaum ia jadi isu perkauman,” soalnya.

Seramai tujuh individu termasuk dua Adun DAP menjadikan jumlah keseluruhan 32 orang ditahan setakat ini yang dikaitkan dengan LTTE.

Dua Adun tersebut adalah Exco Melaka G Saminathan yang ditahan di pejabat di Seri Melaka dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran yang ditahan di Negeri Sembilan pagi Khamis.

Kesemuanya ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Ayub turut menegaskan kertas siasatan polis akan membuktikan sama ada mereka mempunyai bukti yang mencukupi dalam tahanan terbaru itu.

Beliau turut menjawab tuntutan pengguna media sosial yang mahu polis mengemukakan bukti menunjukkan berniat individu dikaitkan LTTE itu merancang serangan ganas.

“Tolong tunggu hingga kertas siasatan selesai… (Ia) dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (JPN).

“Biar JPN menentukan sama ada kami mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwa mereka,” katanya lagi.

Jelasnya, bukti yang diperoleh setakat ini menunjukkan tindakan individu yang ditahan itu bukan bersimpati kepada kaum Tamil di India tetapi promosi pengganas LTTE.

“Ini bukan isu perjuangan hak kaum Tamil di Sri Lanka dan sebagainya, ia adalah berjuang dan mempromosi kumpulan pengganas,” katanya.

Ayub berkata kumpulan berkenaan diterima dan disokong secara terbuka oleh rakyat Malaysia menyebabkan fahaman itu dibangkitkan kembali di negara ini.

Selain itu, syarat visa kemasukan ke Malaysia yang longgar juga menyumbang kepada kebangkitan itu.

“Faktor sokongan yang baik dan penerimaan terbuka oleh rakyat Malaysia terutamanya ahli politik menyebabkan Malaysia menjadi lokasi fahaman LTTE dihidupkan kembali,” katanya.

Tegasnya,  LTTE disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014 dan turut memasuki senarai sama di Amerika Syarikat, India dan Sri Lanka.

Ayub turut mengingatkan, mana-mana individu yang menyokong dan mempromosi kegiatan pengganas, termasuk mengumpul dana untuk pergerakan kumpulan itu boleh diambil tindakan.

Beliau juga memberi amaran kepada semua pihak agar tidak menjejaskan proses siasatan dan persepsi masyarakat.

Katanya, operasi tersebut tidak berhenti setakat itu dan polis mungkin akan membuat penahanan lanjut.

Polis diberi tempoh menahan suspek selama 28 hari mengikut Sosma untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan terdapat usaha menghidupkan kumpulan pengganas tersebut di Malaysia.

“Buktinya cukup banyak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga memberi jaminan kesemua tujuh individu termasuk dua Adun DAP itu akan menerima layanan baik

“Di bawah pemerhatian saya, semua tahanan Sosma akan diberi layanan baik dengan objektif terakhirnya iaitu pemulihan,” katanya. – 12 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen