
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof melahirkan rasa gembira dengan peruntukan pentadbiran Islam meningkat secara konsisten sebanyak RM100 juta dalam Belanjawan 2020.
Katanya, ia membuktikan kerajaan Pakatan Harapan prihatin terhadap kepentingan Islam sebagai agama rasmi.
“Saya amat berterima kasih kerana peruntukan pentadbiran Islam meningkat lagi sekali secara konsisten daripada RM1.2 bilion pada 2019 kepada RM1.3 bilion,” katanya dalam satu kenyataan selepas pembentangan belanjawan di Parlimen hari ini.
“Ini melambangkan keprihatinan untuk kita memastikan kelestarian pentadbiran Islam dalam melihat kerangka menyeluruh Malaysia Baru.”
Dalam pada itu, Mujahid turut memaklumkan penambahan elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) sebanyak RM100, termasuk penghargaan jasa sebanyak RM500 kepada imam dan bilal masjid serta Tok Siak secara “one off” .
Selain itu, RM10 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan dasar “Rahmatan Lil Alamin” dan maqasid syariah oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), selain penubuhan Jawatankuasa Khas Kewangan Islam (JKKI).
Semasa pembentangan belanjawan petang tadi, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan akan terus menegakkan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. – 11 Oktober, 2019.
Komen